26 Disember 2008

Salam Maal Hijrah

Tiga hari lagi, semua umat Islam akan menyambut tahun baru Hijriah, 1430. Dua hari selepas itu, tahun baru Masehi 2009 pula. Seingat saya, inilah kali pertama dalam usia saya, tahun hijrah dan tahun masehi terlalu hampir sama sambutannya.

Biasanya, awal Muharram tak ada apa-apa pengertian sangat berbanding sambutan awal Januari. Tak tahulah kenapa? Mungkin kerana hanya segelintir sahaja yang meraikan Maal Hijrah ini dengan sebenar-benarnya berbanding lebih ramai yang meraikan sambutan awal Januari.

Saya tak nak bincang tentang sambutan mana-mana tahun baru pun. Terpulanglah kepada anda. Fokus saya ialah kepada topik biasa menyambut tahun baru. Bagi umat Islam, sesuai dengan nama tahun Hijrah, inilah masanya untuk kita semua berhijrah... daripada kejahatan kepada kebaikan, daripada kegagalan kepada kejayaan malah daripada kekecewaan kepada kebahagiaan.

Jika sebelum ini anda sering gagal menunaikan kewajipan sebagai hamba-Nya, berusahalah agar hari-hari mendatang selepas ini, anda mampu menjadikan diri anda hamba-Nya yang soleh/solehah dan sentiasa diredhai. Jika sebelum ini anda gagal menjalankan kewajipan sebagai seorang suami atau isteri, dah tiba masanya untuk anda berubah menjadi seorang suami dan isteri yang bertanggungjawab dan menjalankan peranan anda dengan sebaik-baiknya.

Jika sebelum ini anda gagal melaksanakan peranan anda sebagai ibu atau bapa, jalankanlah peranan anda dengan sebaik-baiknya agar anda mampu berbangga dengan hasil didikan dan bimbingan anda kepada anak-anak anda satu hari nanti.

Sebagai seorang anak, anda juga punya tanggungjawab kepada ibu bapa anda malah anda juga punya peranan dan tanggungjawab kepada ibu bapa mertua anda. Ingat!! Apabila anda mengahwini seorang lelaki atau seorang wanita, anda bukan sahaja mengahwini pasangan anda itu sebaliknya anda juga perlu menerima seluruh keluarganya.

Saya yakin, anda pernah dengar dan mungkin tahu mengenai doa awal tahun dan doa akhir tahun. Apa pun, saya masukkan juga doa tersebut di sini:

Doa Awal Tahun:

Maksudnya: Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka. Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. Yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami.

Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.

Dikhabarkan, sesiapa yang membaca doa awal tahun ini, insya Allah dirinya akan terpelihara daripada gangguan dan godaan syaitan di sepanjang tahun tersebut.
Doa Akhir Tahun:

Maksudnya: Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka. Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya.
Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepada-Mu.
Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.

Dikhabarkan, sesiapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata: "Hampalah kami di sepanjang tahun ini."
Walau apa pun, jangan hanya mengamalkan doa awal tahun dan doa akhir tahun ini sahaja. Sebaliknya, anda perlu berusaha ke arah menjadikan segala intipati doa ini satu kenyataan. Anda juga perlu terus berdoa agar hari-hari yang mendatang adalah yang terbaik untuk kehidupan anda, untuk keluarga anda, untuk kerjaya anda malah untuk kehidupan anda yang abadi di akhirat kelak.
Tak kiralah apa juga ujian yang anda terima, jadikan ia sebagai semangat untuk anda terus menghadapi hari-hari seterusnya.
Teringat satu kata hikmah: Every day is a new life to a wise man.
Hayati puisi di bawah:
Look to this day!
For it is life, the very life of life.
In its brief course
Lie all the verities and realities of your existence:
The bliss of growth
The glory of action
The splender of beauty
For yesterday is but a dream
And tomorrow is only a vision
But today well lived makes every yesterday a dream of happiness
And every tomorrow a vision of hope
Look well, therefore, to this day!
Such is the salutation to the dawn... - by Kalidasa.
***Moga hari ini lebih baik daripada semalam, moga hari esok lebih baik daripada hari ini dan moga tahun akan datang lebih baik daripada tahun ini dan moga hari-hari mendatang akan sentiasa lebih baik untuk kita semua.... amiiinnnn!!!!

Tiada ulasan: