04 Disember 2008

Hakikat merancang keluarga

Saya terpanggil untuk membincangkan topik ini selepas menerima satu emel berkaitan isu merancang keluarga.

Kebiasaannya, bila disebut 'merancang keluarga', ramai yang memikirkan tentang proses atau usaha untuk menjarakkan atau mengurangkan kelahiran. Hakikatnya, menambah anak pun boleh dikatakan merancang keluarga juga.

Apa pun pendapat anda, rata-ratanya mempunyai alasan dan sebab yang tersendiri. Bagi mereka yang ingin mempunyai anak yang ramai, fakta paling penting yang dipegang ialah untuk meramaikan umat Nabi Muhammad SAW. Bagi mereka, memiliki anak yang ramai itu sebenarnya telah melaksanakan wasiat Rasulullah SAW Rasulullah SAW.

Diriwayatkan oleh Abu Daud dan an-Nasaei dari Sayidina Ma’qal bin Yassar r.a.: “Telah datang seseorang mengadap Rasulullah SAW dan berkata: “Sesungguhnya aku hendak menikahi seorang wanita yang baik dan cantik, namun dia tidak mampu melahirkan anak, apakah aku boleh menikahinya?” Rasulullah SAW berkata: “Tidak.” Kemudian di waktu yang lain orang itu datang lagi kepada Rasulullah SAW dan meminta izin untuk menikahi wanita yang sama. Rasulullah SAW tetap melarangnya hingga permintaannya untuk kali ketiga, juga dilarang oleh baginda dan baginda bersabda: “Nikahilah perempuan yang boleh melahirkan, sebab aku akan berbangga (dengan) banyaknya jumlah kalian di hadapan umat-umat yang lain (di hari kiamat nanti).”

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, daripada Sayidatina Aisyah r.ha, Rasulullah SAW bersabda: “Nikah adalah sunnahku. Barangsiapa yang tidak mengikut sunnahku, maka dia bukanlah termasuk dalam golonganku. Menikahlah kalian. Sebab sesungguhnya aku akan berbangga dengan banyaknya jumlah kalian di hadapan umat-umat lain pada hari kiamat nanti.”

Bukan sekadar melaksanakan hasrat Rasulullah SAW, mereka yang inginkan anak yang ramai ini merasakan mereka mempunyai persediaan yang cukup dan berkemampuan untuk memiliki ramai anak. Walaupun definisi kemampuan perlu dilihat secara lebih menyeluruh, bagi mereka yang inginkan ramai anak, ada tikanya cukup makan minum dan segala keperluan lain sudah memadai.

Bagi mereka yang berpandangan perlu dan penting menjarakkan kelahiran atau mengurangkan bilangan anak pula memberikan beberapa alasan antaranya kemampuan mendidik dan membimbing anak. Mereka ini masih menggunakan serta merujuk hadis yang sama seperti yang saya jelaskan di atas, tetapi mereka lebih menekankan kepada kualiti dan bukan semata-mata kuantiti. Kata yang mudah, mereka menjarakkan anak supaya mereka dapat lebih masa untuk membentuk anak-anak mereka menjadi anak yang soleh dan umat Islam yang berkualiti.

Ya, Rasulullah SAW memang inginkan umat yang ramai tetapi sudah pastilah umat yang ramai itu adalah umat yang baik dan berkualiti. Rasulullah SAW tentu lebih gembira kalau umat yang ramai itu dibentuk dan dididik menjadi umat yang soleh, beriman dan berkualiti. Apakah ibu bapa yang mempunyai anak yang ramai mampu mendidik anak-anak menjadi umat yang soleh, beriman dan berkualiti?

Inilah maksud saya mengenai definisi kemampuan yang perlu dilihat secara lebih menyeluruh. Dalam zaman serba mencabar ini atau kata Mak saya, zaman 'api dalam kaca dan air dalam besi', tika kebanyakan para isteri terpaksa atau perlu menjadikan wanita dwikerjaya, apakah kita mempunyai masa untuk mempastikan anak-anak kita terdidik dan mampu menjadi insan yang sebenarnya? Tidak dinafikan, ada ibu bapa yang sibuk bekerja dan mempunyai anak yang ramai dan semuanya berjaya menjadi insan berguna. Tepuk hati, tanya kemampuan anda sendiri!

Faktor kesihatan juga adalah faktor penting yang perlu diambil kira kerana ia melibatkan maslahah-maslahah duniawi dan ukhrawi. Faktor kesihatan ini selalunya melibatkan si isteri. Sekiranya si isteri bermasalah dan berisiko tinggi pada setiap kelahiran, bermakna pasangan itu harus redha dengan jumlah anak yang dikurniakan Allah SWT. Nyawa ibu lebih utama dan penting untuk dijaga dan diselamatkan memandangkan anak-anak yang lain masih memerlukan kasih sayang secukupnya dari seorang ibu dan ayah.

Hakikatnya, perancangan keluarga yang bukan semata-mata untuk mengurangkan bilangan anak, adalah tanggungjawab ibu bapa. Perancangan keluarga adalah keupayaan membentuk keluarga ditunjangi lima perkara asas iaitu kesejahteraan fizikal, kemampuan ekonomi, keupayaan emosi, kelapangan masa dan sokongan sosial.

Saya masih belum jumpa kata putus ulama tentang hukum merancang keluarga bagi maksud mengurangkan atau menjarakkan kelahiran. Secara menyeluruh, tidak ada nas dalam al-Quran yang melarang usaha menghalang kehamilan atau mengurangkan bilangan anak.

Sahabat Rasulullah SAW, Jabir meriwayatkan: "Kami mengamalkan al-azl (coitus interruptus) ketika zaman Rasulullah. Baginda mengetahuinya namun baginda tidak melarang kami melakukannya. Sahabat yang mengamalkan al-azl termasuk Ali Abi Talib, Saad ibn Waqqas, Abu Ayyub al-Ansari, Abdullah bin Abbas dan Hassan ibn Ali.”

Fatwa mengenai perancangan keluarga pernah dibuat oleh ulama terkenal, Dr Yusuf al-Qardhawi membenarkan umat Islam merancang keluarga atas alasan kukuh. Alasannya membabitkan kesihatan ibu serta bebanan anak hingga menyebabkan seseorang melakukan perkara haram untuk memenuhi keperluan hidup. Alasan lain termasuk keadaan kesihatan dan pembesaran anak.

Dr Yusuf turut mengesahkan bahawa kaedah perancangan moden mempunyai tujuan serupa dengan coitus interruptus (membuang air mani di luar vagina) adalah dibolehkan.

Namun perlu diingat, pengguguran bukan kaedah merancang keluarga apatah lagi pengguguran memang tidak dibenarkan di negara ini kecuali jika membabitkan kesihatan atau nyawa si ibu.
Kaedah merancang keluarga pelbagai termasuk hormon menerusi penggunaan pil, suntikan dan pacakan (implan), alat dalam rahim, cara kiraan hari selamat, sterilisasi, membuang sperma di luar dan kondom.

Tak kiralah apa juga cara anda, perkara yang paling penting ialah kaedah yang anda gunakan tidak melibatkan perkara yang dilarang di dalam Islam termasuklah anda PERLU DAPATKAN IZIN SUAMI. Kenapa perlu izin suami? Jawapan yang muktamad: KERANA SETIAP ISTERI PERLU TAAT DAN PATUH KEPADA KEHENDAK SUAMI SELAGI IA TIDAK MELANGGAR HUKUM SYARAK.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sekiranya aku boleh menyuruh seseorang supaya sujud kepada orang lain tentu sekali aku akan menyuruh isteri sujud kepada suaminya.” – hadis riwayat Abu Daud dan al-Hakim. Kaum wanita pula dijanjikan syurga hanya dengan melakukan dua perkara iaitu taat kepada Allah dan Rasul dan taat kepada suami.

Ya! Yang mengandung adalah isteri, yang melahirkan juga adalah isteri. Malah, ada isteri yang terpaksa membantu suami membiayai keperluan anak-anak. Saya akui kebenaran tersebut. Namun, semua itu bukan alasan untuk anda bertindak di luar pengetahuan atau keizinan suami. Jika anda mempunyai masalah kesihatan dan diakui oleh doktor yang merawat anda, panjangkannya kepada suami anda. Berbincanglah secara baik.

Perlu diingat, perkahwinan dan rumahtangga adalah hak bersama suami isteri. Setiap suami dan isteri mempunyai tanggungjawab yang tersendiri. Biarpun ada perkongsian tanggungjawab, ia tidak menafikan hakikat bahawa suami adalah ketua keluarga bererti suami perlu tahu dan memberi izin terhadap setiap perkara yang berkaitan dengan rumahtangga anda.

Kenapa suami sebagai ketua keluarga? Tunggu perbincangan saya di dalam Resipi Hidup, majalah Mingguan Wanita dua-tiga minggu dari sekarang, insyaAllah!

1 ulasan:

Unknown berkata...

kalau suami bertegas tidak mahu anak lagi, sedangkan sedia ada sudah 4 (lelaki dan perempuan, sama rata) dan tujuan untuk beria-ia nak mengandung lagi adalah semata2 supaya suami tidak memandang dan mendekati anak yang bakal lahir dari isteri ke-2... adakah dibenarkan...?

dan kalau tanpa pengetahuan suami, si isteri 'perangkap' suami agar 'tersangkut" (mengandung), apakah hukumnya...