10 Julai 2011

Tips ubati hati selepas bercerai

Saya kongsikan beberapa tips yang dipanjang oleh Laman-Seri , yang boleh mengubat hati wanita selepas bercerai supaya mereka memandang tragedi itu sebagai hadiah terbaik daripada Allah SWT, bukan seksaan dan azab-Nya.

Sebelum itu, saya nak berkongsi pengalaman saya sendiri berdepan antara tragedi kehidupan seorang wanita ini; hanya redha, percayai hikmah ketentuan-Nya dan teruskan hidup. Alhamdulillah! Dah lebih tiga tahun kini, saya masih boleh hidup ceria. Tika diceraikan, Ayuni berusia lima tahun sebulan, Suhail pula kurang seminggu akan genap empat tahun dan yang bongsu, Sulaim genap berusia lima bulan. Saya tak berharta malah mempunyai bebanan hutang. Syukur kepada Allah yang berikan saya kekuatan dan kini, anak2 adalah harta saya yang paling berharga, anak2 adalah kebahagiaan saya.

Saya terima, perkahwinan saya gagal dan bukan bererti saya telah gagal dalam hidup kan! Perkahwinan bukan segalanya di dalam hidup. Allah adil kepada hamba-Nya dan diberikan bahagian masing2 untuk mencipta bahagia yang tersendiri. :)

Ikuti tips berharga ini dan beramallah :)

1 – Percaya kepada pilihan Allah SWT


Menerima semua peristiwa yang hadir dalam hidup ini, baik yang positif atau negatif sebagai kehendak Allah. Bukan calang-calang beratnya dugaan yang pasti dialami wanita selepas bercerai. Selain daripada masalah kemurungan kerana ditikam lidah-lidah tidak bertanggungjawab yang menuduh wanita sebagai punca masalah dan akhirnya aib diri akan didedahkan di hadapan orang ramai.

Ramai pula yang mula mencurigai sikap dan gerak-geri janda muda yang cantik. Tapi yang pasti, bebanan ekonomi keluarga yang mesti ditanggung sendiri dan permusuhan keluarga sebelah bekas suami yang belum berakhir.

Ditambah pula masalah perkembangan mental anak-anak yang ditinggalkan ayah mereka. Semua itu memerlukan kecekalan hati. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesiapa saja yang dikehendaki Allah menjadi baik maka diberikan ujian kepadanya.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Cara untuk menghadirkan redha dalam hati ialah dengan mengingati nikmat Allah SWT yang lain ketika musibah datang. Sungguh banyak nikmat-Nya yang tidak kita sedari yang telah menyelamatkan hidup kita di dunia ini. Adapun musibah, ia ditimpakan supaya kita tidak terlena dibuai kenikmatan yang banyak itu.

2 – Bina mahligai iman dan harta

Setelah bercerai, tentu beban nafkah semakin berat apabila ditanggung sendirian. Setiap sen yang dinafkahkan untuk anak-anak dan keluarga menjadi amal yang paling berat timbangannya di sisi Allah SWT. Untuk memenangi perlawanan duniawi, kita memerlukan dua bekal yang boleh menyelamatkan perjalanan hidup kita iaitu; bekaliman dan harta. Iman boleh terjejas tanpa harta yang cukup dan diberkati Allah SWT. Begitu juga harta akan habis tidak berfaedah tanpa iman yang kuat. Untuk memenangi perlawanan ini, anda harus memiliki kedua-duanya. Semailah benih iman di dalam hati dengan ilmu agama.

Bagaimana cara mendekatkan diri kepada Allah SWT? Ðisiplin mengerjakan sembahyang, belajar memahami al-Quran, bergaul dengan orang-orang yang berakhlak baik dan luas ilmu, mengikuti aktiviti-aktiviti bersama mereka dalam zon iman yang sihat, jauhkan persekitaran yang mengandungi iklim maksiat yang berbahaya. Banyaklah belajar dari orang-orang yang sabar bagaimana mengatasi ujian kehidupan, sentiasalah melihat ke bawah dan jangan sesekali melihat orang yang di atas supaya lahir hati yang bersyukur dan redha dengan ketentuan Allah Taala.

3 – Hidup untuk berkongsi gembira

Punca tekanan pada diri seseorang ialah ketidak-mampuan seseorang untuk berkongsi pelbagai rasa dengan orang lain. Semua mahu dirasai dan ditanggung sendiri, baik suka atau duka, menjadikan orang itu individualistik, ego dan jumud. Sedangkan punca kebahagiaan itu ialah sikap mahu berkongsi dengan orang lain.

Hidup akan lebih bererti jika kita menjadi orang yang bermakna untuk orang lain. Jika anda seorang ibu, pastikanlah anak-anak merasa bertuah memiliki ibu seperti anda. Kuat, cekal, ceria, senang didekati, suka bergurau senda tanpa menjatuhkan maruah diri.

Para pakar jualan pasti sepakat bahawa cara untuk mempertingkatkan pendapatan ialah dengan kemesraan dan senyuman kepada para pelanggan. Para doktor pun pasti mengesyorkan pesakitnya untuk mengamalkan senyuman bagi memberi motivasi, di samping ubat untuk menghilangkan kesakitan.

Al-Quran pula memberi galakan supaya bermesra dengan orang lain, Allah Taala berfirman yang bermaksud, “Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu.” (Surah ali-‘Imran 3:159)

Penawar hati yang paling senang dan seronok apabila melakukannya ialah bergurau senda. Rasulullah SAW pernah mengekori sahabat baginda yang bernama Zahir dari belakang, kemudian baginda bersabda, “Siapakah yang mahu membeli hamba sahaya ini?” (Rasulullah bergurau, kerana Zahir bukan seorang hamba) Lalu Zahir bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah aku ini seperti barang jualan yang tidak laku?” Rasulullah menjawab sambil tersenyum, “Sesungguhnya engkau di sisi Allah bukanlah barang jualan yang tidak laku.”

Senyumlah! Sebagai tanda keredhaanmu atas segala ujian yang menimpa, dan ubat bagi hati yang berduka...

Semoga bermanafaat!

Tips dirujuk dari : Ðr Juanda Jaya

*** Terima kasih Bawang Goreng @ Laman Seri.

4 ulasan:

Mulan berkata...

Salam Puan,
Saya sangat setuju dengan apa yang telah dibincangkan oleh puan. Dalam melayari rumahtangga, banyak dugaannya. Sekiranya kita gagal dalam melayarinya, usah dipaksa kerana semua pihak yang terlibat tidak akan merasa bahagia, termasuk anak-anak yang akan turut merasa bahangnya. Yang penting redha dengan apa yang berlaku dan yang pastinya Allah itu maha adil dan Dia tidak akan menganiaya hambaNya.

Bagi saya, semasa berkahwin, tiada sesiapa yang memaksa kita untuk berkahwin dengan pasangan. Jadi tidak perlu kita memaksa pasangan untuk terus berada bersama kita dikala kita sudah tidak punya keserasian. Doakan semoga dia mendapat pengganti diri yang baik dan semoga kita juga mendapat kehidupan yang baik selepas itu.

Sekian, wassalam.

Unknown berkata...

blog yg byk membantu...teruskan jihad ini.. semoga Allah mengira sbg amal yg soleh

Unknown berkata...

perkahwinan merupakn perjudian nasib....pilihlah pasangan yang menepati syariat...yg dpt membimbing anda ke jln redha Allah

Unknown berkata...

Sy dlm dilema bila suami membuat hubungan dgn perempuan lain. Sdh 2 kali sy beri peluang sepanjang 16 thn bersama. Sy rasa utk kali ke 3 ni sy x boleh bertahan lg tp sy kesiankan anak2. Yg paling x tahan bdk perempuan tu sms sy bgthu suami dah ceraikan sy. Tgh tunggu proses mahkamah. Suami sy ada dirumah tp sy x mahu bercakap krn x blh control marah...buntu...