03 Jun 2008

Cara bertengkar yang selamat

Jangan terkejut dengan topik perbincangan saya kali ini. Memang satu penyataan yang benar. Mungkin bagi kebanyakan kita, bila menyebut tentang bertengkar, seringkali yang muncul di fikiran ialah konflik yang teruk hingga boleh menyebabkan berlakunya pergaduhan besar. Bak lirik lagu P.Ramlee dalam filem Tiga Abdul: sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri...

Bermaksud, pertengkaran suami isteri adalah biasa tetapi kita perlu pastikan pertengkaran tersebut tidak berlarutan sebaliknya memberikan manfaat. Biasanya pertengkaran boleh terjadi apabila timbul satu masalah atau kerumitan atau berlaku salah faham atau ada pihak yang lalai daripada tanggungjawab.

Sekiranya pertengkaran ini tidak dibendung, ia boleh mencipta konflik yang berlarutan. Kerap kali juga dalam pertengkaran, masing-masing tidak mahu bertanggungjawab. Kesannya, mereka saling tuduh menuduh.

Untuk bertengkar dengan cara selamat, perkara paling penting ialah ubah sikap yang tidak mahu bertanggungjawab. Apabila kedua-dua belah pihak mahu mengaku bahawa masing-masing turut bersalah sehingga tercetusnya pertengkaran itu, barulah konflik ada harapan diselesaikan.

Sekiranya anda dapati pasangan anda enggan mengaku bertanggungjawab, ambilah inisiatif memulakannya. Ingat! Walaupun anda dipersalahkan, jangan anda jawab dengan menyalahkan pasangan anda juga. Sebaiknya anda mendiamkan diri. Ya, anda mungkin mengalah tetapi bukan bererti anda bersalah atau kalah. Ini memang tindakan yang susah, tetapi hanya anda yang boleh mengawal mulut anda sendiri.

Apabila anda menunjukkan sikap positif tersebut, ia boleh menghasilkan dua kesan baik. Pertama, ia dapat mencegah pertengkaran itu daripada bertambah buruk. Kedua, sikap positif itu mungkin ditiru pihak satu lagi.

Langkah kedua agar bertengkar dengan selamat ialah berhenti bercakap mengenai perbezaan. Pertengkaran memang datang daripada perbezaan tetapi perbuatan suka membesar-besarkan perbezaan, akan mencetuskan pertentangan pendapat, perbalahan dan konflik yang lebih besar.
Sikap suka memberi tumpuan kepada perbezaan datang daripada sikap yang suka berfikir secara negatif dan kritis.

Cara berfikir yang begitu, sudah tentu menghasilkan sikap suka mencari kesalahan, kekurangan, kelemahan dan cacat-cela orang lain. Sikap sebegini tidak selamat untuk perkahwinan anda.Ingat! Walaupun suami isteri mempunyai perbezaan, antara kalian juga terdapat banyak persamaan dan sewajarnya, anda perlu mencari persamaan atau keserasian.

Langkah ketiga agar bertengkar dengan selamat ialah berhenti mencari siapa yang menjadi punca pertengkaran, sebaliknya mula mencadangkan cara-cara penyelesaiannya. Jangan menambah keruh suasana. Kenang semula saat indah tika bersama. Ingat janji-janji yang dilafazkan bersama untuk membina mahligai bahagia. Sedarlah, anda dan pasangan anda masing-masing punya kelebihan dan keistimewaan. Bersatulah agar segala kekurangan dapat ditampung demi mencipta bahagia.

Tiada ulasan: