26 Jun 2008

Duit perlu tapi bukan duit segalanya

Saya kerap menerima emel tentang cara menambah pendapatan. Bukan pendapatan kecil-kecilan yang dijanjikan sebaliknya pendapatan lumayan dan yang ditekankan ialah pendapatan lumayan dengan usaha yang sedikit.

Terus terang, saya tidak percayakan semua itu. Bagi saya, tidak ada jalan mudah untuk berjaya termasuklah menambah pendapatan keluarga. Setiap individu perlu bekerja dan berusaha barulah anda akan memperoleh hasil yang setimpal.

Saya faham, ada yang telah pun berjaya dengan jalan tersebut. Persoalannya, berapa lama ianya bertahan? Apakah anda bahagia dengan pendapatan tersebut? Bahagia dengan kehidupan dunia sahaja tidak memadai kerana anda punya kehidupan abadi di akhirat.

Ingatlah! Duit memang satu keperluan tetapi bukan duit segalanya di dalam hidup kita. Saya masih ingat lagi dengan kempen KPWK satu masa dulu: balik terus ke rumah selepas waktu kerja. Terkini, rentetan daripada kenaikan harga minyak, dah ada kebenaran untuk pegawai awam melakukan kerja sambilan pula. Saya bukan membangkang tetapi sekadar satu peringatan untuk semua, walau apa pun yang anda lakukan, keluarga lebih perlu diberikan keutamaan.

Rancang masa dan segala kerja anda dengan baik. Apa guna anda punya wang berjuta andai anda hilang kasih sayang keluarga. Anak-anak, isteri malah ibu bapa mengharapkan perhatian dan kasih sayang anda, bukan duit semata. Memang betullah, tak boleh hidup dengan cinta dan kasih semata-mata, perlukan duit juga nak makan dan macam-macam lagi. Ambillah yang pertengahan, bersederhana dalam segala perkara.

Tapi ingat! Bersederhana bukan bererti mengurangkan keperluan ya!! Selalu berbincang dengan ahli keluarga agar mereka tahu dan memahami tanggungjawab anda. Fahamilah kewajipan masing-masing, insyaAllah rumahtangga akan tetap rukun dan damai.

Tiada ulasan: