13 Jun 2008

Selamat Hari Bapa

Ujung minggu ni, masa untuk Bapa, Ayah, Abi, Papa, Abah, Baba atau apa saja panggilannya, bakal meraikan Hari Bapa. Sama seperti sambutan hari Ibu, Hari Bapa juga bakal meriah sambutannya insyaAllah. Saya sendiri tak sabar menanti kedatangan Mak dan Bapa saya awal pagi esok, khusus untuk kami meraikan Hari Bapa di rumah saya. Kebetulan, adik-adik ada yang tinggal bersama saya dan ada yang tinggal berdekatan dengan rumah saya maka rumah sayalah 'port'nya. Tak pe lah kan, saya pun anak sulung, biarlah saya yang jadi 'tuan rumah.'

Apa plannya, belum pasti lagi tetapi akan ada sambutan untuk mengingati jasa dan pengorbanan Bapa. Bukan bermaksud kami hanya ingat tika sambutan Hari Bapa sebaliknya hari istimewa ini sebagai hari rasmi untuk meluahkan segala kasih sayang kami kepada Bapa. Saya yakin, anda semua pun begitu juga.

Saya tak merancang nak berikan cadangan terbaik meraikan Hari Bapa di dalam perbincangan ini tetapi saya ingin mengingatkan anda semua yang bernama Bapa, Ayah, Abi, Papa, Abah, Baba atau apa saja panggilannya, memegang status tersebut bukanlah kebanggaan atau kemegahan atau bukti kelelakian semata-mata. Menjadi seorang Bapa, Ayah, Abi, Papa, Abah, Baba atau apa saja panggilannya adalah satu tanggungjawab dan amanah.

Bukan satu, bukan dua tetapi banyak tanggungjawab anda. Bermula daripada anda memilih pasangan hidup hinggalah anda dikebumikan, pelbagai tanggungjawab terpikul di bahu anda. Ramai isteri yang mengadu kepada saya, suami mereka tidak ambil tahu sangat pasal anak-anak. Kebanyakannya menyerahkan hal anak-anak kepada isteri. Jika anak berjaya, suami tumpang gembira, terlupa hasil titik peluh isteri. Bila anak bermasalah atau tidak berjaya, isteri dipersalahkan, dicaci maki hingga segala sumpah seranah keluar daripada mulut suami. Apakah itu yang anda faham tentang tugas dan tanggungjawab seorang Bapa, Ayah, Abi, Papa, Abah, Baba atau apa saja panggilannya??

Tahukah anda, jika kaum lelaki sedar dan faham tugas, peranan, kewajipan dan tanggungjawab sebenar seorang suami dan Bapa, Ayah, Abi, Papa, Abah, Baba atau apa saja panggilannya itu, takkan ada lelaki yang mendabik dada meluahkan hasrat untuk berpoligami.

Saya faham, seperti kata Ustaz Muda dalam perbincangannya tentang poligami , memang bukan untuk dibanggakan oleh suami. Saya mengerti cuma seperti komen saya di ruangan tersebut, kaum lelaki yang berhasrat untuk berpoligami atau yang telah pun berpoligami, perlu jadikan kes-kes poligami sebagai kes-kes yang membahagiakan dan mampu membuka mata dan minda wanita.

Poligami bukan hanya mengambil kira kemampuan dan keadilan kepada isteri tetapi juga kemampuan dan keadilan kepada anak-anak. Banyak kes poligami yang memberi kesan negatif kepada anak-anak. Keadaan sepatutnya bukan berlaku sedemikian sekiranya bapa betul-betul mampu berlaku adil.

Bukan saja di dalam kes poligami tetapi juga kes-kes perceraian. INGAT!! Walau hubungan antara anda dan isteri telah berakhir, hubungan anda dan anak-anak tetap ada dan terus kekal. Seorang bapa adalah bertanggungjawab memberikan nafkah berupa keperluan anak-anak hinggalah anak tersebut mampu berdikari sendiri (sekiranya lelaki) atau pun berkahwin (sekiranya perempuan). Bukan sahaja perbelanjaan malah anda bertanggungjawab memberikan perhatian dan kasih sayang kepada anak-anak anda.

Kegagalan anda menunaikan tanggungjawab dan amanah ini bererti anda menempah tiket kepada kesengsaraan di akhirat. Sempena Hari Bapa ini, moga-moga Bapa, Ayah, Abi, Papa, Abah, Baba atau apa saja panggilannya, yang telah gagal memenuhi tanggungjawab anda sebelum ini, mengambil inisiatif untuk berubah. Jangan nanti bila anda tidak diakui sebagai ayah kandung oleh anak-anak anda, barulah nak kecoh satu dunia...

Buat Bapa tersayang: Terima kasih atas segala pengorbanan. Amat sukar menjelaskan tetapi ketahuilah saya amat berbangga menjadi anak Bapa.


Buat Abi untuk anak-anakku: Moga satu hari nanti anak-anak kita meluahkan rasa hati yang serupa dengan luahan hatiku hari ini

Tiada ulasan: