29 Ogos 2008

Salam Ramadhan al-Mubarak

InsyaAllah, hari Isnin ni seluruh umat Islam akan memulakan ibadah puasa. Jika masih ada puasa yang belum diganti, masih ada masa walau agak tenat di saat-saat akhir ini.

Ketika Ramadhan menjelang, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Wahai manusia, menjelang tiba bulan agung lagi berkat. Bulan yang di dalamnya ada satu malam lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan mengerjakan amalan fardu, seolah-olah dia sudah mendapat 70 pahala fardu pada bulan lain. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan amalan sunat, seolah-olah dia mendapat pahala amalan fardu pada bulan yang lain. Ia adalah bulan sabar iaitu bulan yang awalnya rahmat, tengahnya keampunan dan akhirnya selamat dari neraka.” (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah)

Hadis ini menjelaskan kepada kita betapa Ramadhan adalah bulan rahmah dan barakah. Apakah anda telah bersedia untuk menyambut ketibaan bulan mulia ini? Antara persiapan yang perlu dilakukan menjelang Ramadhan ialah:

1. Persediaan diri untuk berpuasa:
Seminggu sebelum berpuasa kita dikehendaki mengurangkan kadar makanan kita dan lebihkan makan buah-buahan serta sayur-sayuran. Pastikan pembuangan air besar lawas.

2. Memahirkan diri dengan segala rukun, sunat, harus, makruh yang berkaitan dengan puasa pada Ramadhan, sunat tarawih dan lain-lain lagi:

3. Membiasakan diri bangun pada sepertiga malam untuk bertahajud dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia sebagai persediaan membiasakan tarawih dan tahajud pada Ramadhan.

4. Memperuntukkan beberapa jumlah wang untuk dijadikan sedekah jariah dan zakat fitrah.

5. Rancang strategi tersusun untuk memperbanyakkan hafalan dan tadarrus al-Quran.

6. Melatih dan membentuk diri bersifat mahmudah, sifat terpuji seperti sabar, membanyakkan senyuman kepada sahabat dan kerabat.

7. Meninggalkan sifat mazmumah iaitu sifat keji seperti memfitnah, mengumpat dan mengata orang. Kurang bercakap lagha (merapu), tidak berbahasa lucah, kotor dan keji.

8. Memohon maaf dan memaafkan orang lain.

Tahukah anda, ada satu riwayat menceritakan, malaikat Jibril a.s telah berdoa ketika saat menjelang Ramadhan:

"Ya Allah! Tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:
1. Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada);
2. Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami isteri;
3. Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.

Maka Rasulullah SAW pun mengaminkan doa tersebut sebanyak tiga kali.

Saya tidak pasti kedudukan periwayatan hadis ini tetapi yang penting, perkara yang disampaikan adalah perkara yang perlu diberikan perhatian. Rata-rata berpendirian, tunggu raya nantilah mohon maaf... sedangkan hakikatnya, kita semua perlu bermaaf-maafan sejak sebelum memulakan puasa lagi.

Mungkin ada yang berpendirian, anda tidak perlu memohon maaf sebab anda tidak pernah melukakan hati sesiapa. Tambahan lagi jika anda tersenarai antara yang suka bergurau atau kelakar. Bagi mereka yang berprinsip sebegini, saya nasihatkan, mohonlah juga kemaafan kerana anda tidak akan rugi apa-apa.

Manusia mempunyai pelbagai perwatakan dan perangai. Ada tikanya anda bermaksud gurauan tetapi diambil serius oleh orang lain. Ada tikanya anda merasakan ianya luahan ikhlas tetapi ada yang mengambil kesempatan daripada luahan ikhlas tersebut untuk menjatuhkan anda.

Sama-samalah kita memohon maaf sesama kita. Saya juga memohon ribuan kemaafan jika tanpa sedar, saya melukakan hati anda semua.

Semoga kita dapat menjalani ibadah Ramadhan dengan rahmat dan barakah daripada-Nya.

28 Ogos 2008

Keperluan Wasiat menurut undang-undang di Malaysia

Ada emel yang meminta saya bincangkan mengenai wasiat. Teringat, rakan sepengajian yang kini bekerja dengan sebuah syarikat perunding wasiat pernah menyediakan perbincangan yang dikehendaki. Saya pastekan di sini untuk maklumat semua:
-----------------------------------------------------------

Menurut undang-undang Perwarisan Islam yang juga dikenali sebagai Faraid, aset-aset orang Islam yang telah meninggal dunia akan diserahkan kepada waris-waris yang berhak berdasar bahagian yang telah ditentukan.

Sebagai contoh, sekiranya seorang suami meninggal dunia meninggalkan hanya seorang bapa, seorang isteri, seorang anak perempuan dan seorang anak lelaki, selepas pembayaran semua hutang beliau, aset-aset beliau akan dibahagikan menurut hukum Faraid seperti berikut:

Bapa - satu per enam
Isteri - satu per lapan
Anak lelaki dan anak perempuan - baki harta dalam nisbah 2 bahagian untuk anak lelaki dan satu bahagian untuk anak perempuan

Berdasarkan kes ini, kebanyakkan orang Islam berpendapat bahawa Wasiat adalah tidak perlu dan membuang masa sahaja.

Wasiat bukan sahaja digalakkan oleh Rasullullah S.A.W tetapi merupakan cara menyatakan hasrat seseorang untuk membahagikan harta pusaka kepada benefisiari tertentu selepas kematian. Malah yang lebih penting adalah Wasiat merupakan satu mekanisme untuk membolehkan simati ketika masih hidup memilih seseorang yang beliau percayai untuk bertindak sebagai Wasi yang akan mentadbir harta pusakanya menurut hasratnya apabila dia telah meninggal dunia kelak. Malah di dalam Wasiat, pewasiat lelaki dibenarkan oleh undang-undang Islam untuk melantik penjaga bagi harta anak-anak yang masih kecil.

Kewujudan Faraid atau Undang-undang perwarisan Islam bukanlah bermakna bahawa seseorang yang berhak mewarisi menurut Faraid boleh mewarisi harta pusaka si mati dengan segera selepas kematian beliau.

Semua aset dan liabiliti si mati di kategorikan sebagai harta pusaka. Harta pusaka seseorang yang meninggal dunia tanpa meninggalkan Wasiat di panggil sebagai Harta Pusaka Tidak Berwasiat (manakala Harta Pusaka Berwasiat apabila seseorang meninggal dunia meninggalkan Wasiat).

Banyak langkah perlu dilakukan oleh seorang benefisiari bagi harta pusaka tidak berwasiat sebelum mereka boleh menikmati harta pusaka tersebut. Peruntukan daripada Akta Probate dan Pentadbiran 1959, Akta Pusaka Kecil (Pembahagian 1955) , Enakmen Pentadbiran Agama Islam yang berkaitan serta peraturan-peraturan mahkamah Tinggi 1980 perlu di gabungkan serta digunapakai dan ini termasuklah:

1. Permohonan Sijil perwarisan /Faraid daripada Mahkamah Syariah untuk menentukan bahagian/saham setiap benefisiari yang layak.

2. Permohonan Surat Kuasa Mentadbir ke Mahkamah Tinggi ( untuk harta pusaka bernilai lebih daripada RM600,000) oleh seseorang yang telah dilantik dan dipersetujui oleh semua benefisiari untuk bertindak sebagai pentadbir. Sekiranya tiada persefakatan dalam memilih seorang pentadbir proses permohonan ini akan tertangguh dan mengambil masa yang lama.

3. Bagi harta pusaka yang bernilai RM 50,000.00 atau lebih, biasanya perintah mahkamah akan diperolehi sekiranya Pentadbir boleh menyediakan “ Bon Pentadbiran” dimana penjamin tersebut adalah untuk memastikan bahawa pentadbir melaksanakan tanggungjawab dengan betul, kecuali pengecualian daripada bond pentadbiran tersebut diperolehi daripada mahkamah atau pentadbir yang dilantik adalah syarikat pemegang amanah.

Dari segi masa, proses pembahagian harta pusaka tidak berwasiat mungkin boleh mengambil masa diantara satu ke dua tahun dan mungkin lebih lama sekiranya benefisiari gagal memberi persetujuan dalam memilih pentadbir ataupun pentadbir gagal mendapatkan penjamin yang mencukupi. Sepanjang proses undang-undang yang diperlukan berjalan, harta pusaka si mati akan terbeku.

Halangan-halangan yang telah disebut di atas dapat diatasi sekiranya si mati semasa hayatnya telah membuat Wasiat dan melantik Syarikat Pemegang Amanah sebagai Wasi.

Wasiat menurut kacamata Islam

Orang Islam digalakkan menulis Wasiat . Ada golongan yang bersifat sinis tentang mengapa perlu menulis Wasiat dengan mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W tidak membuat Wasiat. Hadis berikut menjelaskan keadaan sebenar bahawa Rasulullah S.A.W telah menulis Wasiat.

Diriwayatkan Talha bin Musharrif Saya bertanya Abdulah bin Abu Aufa, “Adakah Rasulullah S.A.W membuat Wasat? Dia menjawab “Tidak,” saya bertanya beliau “Bagaimanakah umat Islam disunatkankan supaya berwasiat (atau diperintahkan supaya berwasiat? Ia menjawab, “Raslullah S.A.W berwasiat dengan kitab Allah (a Quran)- Dipetik daripada Sahih Al Bukhari (jilid IV m/s 1)

Sesungguhnya, orang Islam digalakkan untuk menulis Wasiat . Seperti yang diriwayatkan
Rasullulah s.a.w bersabda bermaksud: “Bukanlah seorang Muslim yang sebenar yang mempunyai harta untuk diWasiatkan untuk tidur dua malam kecuali Wasiatnya sudah tertulis dan disimpan dibawah kepalanya”.- Dipetik daripada Sahih Al Bukhari (jilid IV m/s 1)

Keluarga adalah aspek yang penting bagi masyarakat Islam dan Faraid memastikan bahawa Pewasiat tidak boleh menghalang ahli-ahli keluarga yang berhak menurut al Quran daripada menerima pusaka. Tidak seperti Undang-undang sivil pewasiat bebas untuk menghalang ahli keluarganya mewarisi hartanya di dalam Wasiat, seorang Islam hanya boleh mewasiatkan satu pertiga asetnya dan secara umumnya hanya kepada bukan waris. Hanya dengan persetujuan semua waris selepas kematian Pewasiat peraturan satu pertiga tersebut boleh di atasi.

Faraid dan Wasiat dengan kata lain seperti undang-undang dan ekuiti dimana dan saling memerlukan di antara satu sama lain. Faraid menjaga hak waris manakala wasiat pula memberi hak dan ruang kepada pewasiat untuk mewariskan hartanya kepada orang-orang yang bukan waris menurut Islam seperti anak atau ibu bapa angkat, ahli keluarga bukan Islam, cucu atau ahli keluarga yang tidak mendapat bahagian dalam Faraid ataupun untuk apa-apa tujuan kebajikan.

Kesedaran tentang Faraid

Faraid adalah undang-undang perwarisan Islam yang menetapkan bahagian yang khusus untuk waris-waris tertentu dan bukannya menentukan bentuk pembahagian. Ramai orang Islam yang salah faham tentang konsep Faraid serta tidak memahami peranan bersama diantara Faraid dan Wasiat didalam Islam .

Seseorang yang meninggal dunia serta meninggalkan segala harta untuk dibahagikan menurut Faraid, mungkin tidak menyedari bahawa tindakannya itu mungkin boleh menyebabkan kesan tidak baik dari segi ekonomi. Sebagai contohnya seseorang yang meninggal dunia tanpa Wasiat meninggalkan waris seorang isteri, 5 orang anak perempuan dan seorang abang serta meninggalkan aset hanya sebuah rumah dan sebuah kereta. Faraid akan menetapkan bahagian yang diperolehi oleh setiap orang waris.

Untuk mendapat kepentingan/keuntungan daripada perwarisan faraid mereka tersebut harta-harta tersebut mestilah dijual sebelum keuntungan hasil jualan tersebut boleh dibahagikan secara wajar menurut Faraid. Walau bagaimanapun setiap benefisiari mesti bersetuju agar aset tersebut dijual dan sekiranya salah seorang daripada mereka tidak bersetuju, harta tersebut akan ditinggalkan terbiar tanpa kesudahan.

Keadaan ini akan berbeza jika simati telah meninggalkan Wasiat. Dia masih boleh menetapkan didalam Wasiatnya untuk membahagikan aset-asetnya menurut Faraid dan pada masa yang sama di dalam Wasiatnya dia memberi kuasa kepada Wasi untuk bertindak menggunakan budi bicara yang luas untuk menjual asset tersebut tanpa perlu mendapatkan persetujuan daripada benefisiari. Daripada hasil jualan tersebut, pembahagian harta pusaka boleh dibahagikan tanpa bertangguh.

Konklusi

Tidak dinafikan bahawa seseorang yang mempunyai aset tanpa menbuat Wasiat akan menimbulkan pelbagai kesusahan kepada orang-orang yang beliau sayangi apabila meninggal kelak.

***Untuk mendapat maklumat lanjut tentang perkara ini anda boleh menghubungi Puan Amna Fazilah, as-Salihin Trustee Berhad di Talian 03-79581993 atau layari http://www.as-salihin.com/.

27 Ogos 2008

Melatih anak-anak berpuasa

Alhamdulillah, ada sedikit kesempatan untuk bersama pelayar setia blog saya ini. Tak lama lagi, Ramadhan akan menjelma. Biasanya, bulan Ramadhan inilah, setiap individu akan berusaha berkumpul bersama ahli keluarga untuk berbuka puasa. Pastinya suasana kekeluargaan lebih terasa apabila setiap ahli keluarga…suami, isteri dan anak-anak bersama-sama ketika berbuka puasa. Suasana akan jadi lebih meriah sekiranya ada di kalangan anak-anak kecil yang baru belajar berpuasa.

Puteri sulung saya sendiri dah tak sabar-sabar nak berpuasa. Mungkin, sesetengah ibu bapa mengambil pendekatan..alaaahh..anak kecil lagi, tak payah ler nak puasa…sedangkan kita perlu ingat, melentur buluh haruslah dari rebungnya. Sekiranya telah besar dan dewasa baru ingin dilentur, ketika itulah anak-anak tidak endahkan didikan dan ajaran kita.

Bagi mewujudkan sebuah keluarga yang cemerlang, didikan kepada anak-anak mengenai Islam hendaklah ditekankan dan dipupuk sejak jiwa anak-anak masih muda. Anak-anak dilahirkan di dalam keadaan fitrah iaitu suci tanpa sebarang kecacatan dan kecelaan rohani. Justeru, sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, praktikkan amalan puasa ini di dalam diri anak-anak kita. Maksud saya, bukanlah anak kecil yang masih menyusu tetapi anak-anak yang telah menjengah usia lima atau enam tahun.

Tetapi harus diingat, anak-anak perlu dilatih untuk berpuasa dan bukannya memaksa mereka berpuasa. Sebagai permulaan, terangkan secara mudah kepada anak-anak tadi, apakah maksud puasa? Jelaskan bahawa ketika berpuasa, kita tidak dibenarkan makan di siang hari. Kita hanya boleh menjamah makanan setelah masuk waktu Maghrib. Ketika bersahur pula, kejutkan anak-anak untuk bangun dan bersahur bersama kita.

Jangan risau bahawa kita mengganggu tidur mereka kerana anak-anak akan berasa dihargai sekiranya mereka dapat turut serta di dalam aktiviti yang kebanyakannya dilakukan oleh orang dewasa. Terangkan juga mengenai tempoh berpuasa selama sebulan di sepanjang bulan Ramadhan sahaja. Jelaskan, selepas tamat sebulan berpuasa, kita akan meraikan kegemilangan dan kejayaan kita berpuasa dengan tibanya Aidil Fitri.

Tidak salah sekiranya kita menjanjikan apa-apa hadiah atau balasan sekiranya anak-anak berjaya menamatkan puasa. Sebagai contoh, janjikan, sekiranya Adik berpuasa satu hari, Ibu akan berikan RM10.00. Insentif ini akan menyemarakkan semangat anak-anak untuk berpuasa. Ketika menyerahkan insentif tersebut, jelaskan bahawa insentif daripada kita hanya akan diperolehi ketika anak-anak masih kecil. Apabila anak-anak telah meningkat remaja dan dewasa, mereka akan mendapat insentif yang lebih besar daripada Allah s.w.t. Penjelasan ini akan dapat menyingkirkan salah faham anak-anak bahawa dengan berpuasa mereka akan mendapat hadiah dan membuatkan mereka mengerti bahawa insentif daripada Allah adalah lebih utama dan berharga.

Namun begitu, sekiranya kita dapati anak-anak kita amat lemah sekali dan tidak mampu untuk meneruskan puasa, pujuk mereka secara baik untuk berbuka kerana membiarkan anak-anak meneruskan puasa dalam keadaan demikian akan mendatangkan akibat buruk kepada kesihatan malahan ada sesetengah kes, menjadi penyebab kepada kematian.

Mungkin ada sesetengah anak-anak yang meminta daripada kita untuk berbuka dengan alasan tidak tahan lagi untuk terus berpuasa. Di dalam situasi ini, sekiranya kita rasakan keadaan tidaklah seteruk mana, cuba pujuk dengan elok agar anak tersebut meneruskan puasa. Tidak dinafikan, sesetengah anak-anak pandai mencari helah untuk tidak berpuasa dan kita harus berhati-hati dengan sikap sebegini. Jangan kita anggap didikan kita telah sempurna dan anak-anak takkan mencari helah kerana anak-anak terdedah kepada persekitaran sekeliling yang lebih mempengaruhi jiwa dan hidupnya berbanding dengan didikan kita.

Sebagai ibu bapa, kita hendaklah sentiasa berdoa agar anak-anak kita menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna kepada kita semua....

26 Ogos 2008

Bicara Hati Seorang Wanita....

Segala puji hanya bagiMu Tuhan
Lantaran telah menjadikan daku seorang wanita
Dicipta dari tulang rusuk kiri Adam
Dengan seindah dan sebaik ciptaan

Daku..
Si tulang bengkok
Yang KAU gubah dengan kekuatan perasaan
Mengatasi panjangnya akal fikiran, sebagai fitrah dan anugerah
Hasil doa seorang lelaki
Namun Ya Allah
Biarlah kejadianku memberi guna, bengkok yang ada manfaatnya.

Kiranya daku menjadi seorang isteri
Kurniakanlah padaku kekuatan
Menjadi tulang belakang seorang suami, seorang mujahid
Pengembang perjuangan di sayap kiri
Diadun dengan kelembutan
Menjadi teman sejati, sahabat setia, penyejuk mata, pembina semangat dan penguat jiwa
Seanggun peribadi Saidatina Khadijah
Ketenangan baginda Rasulullah, utusan Allah

Bebas jiwa dari belenggu keperempuanan
Yang memiliki sembilan nafsu
Merdeka dari kepentingan peribadi
Setulus Siti fatimah yang seringkali ditinggalkan suami, Saidina Ali
Dihantar pemergiannya tanpa bertanya "Bila kan pulang?"
Disambut kepulangannya dengan penuh khidmat dan kemanisan
Bersulamkan kemesraan
Rumahtangga adalah syurga
Wadah suburnya CINTA ketuhanan, Ubudiyyah
Akal yang tunggal tidak dibiarkan
Hanya berlega dicelahan periuk belanga
Di sebalik lipatan lampin anak
Menjangkau kebangkitan Islam di alam sejagat
Menjadi pentadbir di sebalik tabir!!!

Namun Ya Tuhan
Siapalah daku untuk memiliki
Watak wanita solehah pendamping nabi
Dek berkaratnya mazmumah yang bersarang di hati
Maka kurniakanlah daku
Sekeping hati yang sentiasa insaf
Hak seorang suami
Tidak kan mungkin kupenuhi
Biar telah ku jilat nanahnya yang berlelehan
Biar telah ku tadahkan wajahku
Buat mengusap debu di telapak kakinya

Dan sememangnya daku mengimpikan
Watak seorang ibu
Yang bakal melahirkan
Putera-putera secekal Musa'ab bin Umar
Menggadai dunia demi kasih Tuhannya
Segigih Zubair Ibnu Awwaam
Yang diangkat Rasul sebagai 'hawarij'nya
Hasil didikan seorang wanita bergelar ibu
Jua..
Memiliki puteri setabah dan seteguh Masyitah
Rela direbus demi mempertahankan iman
Atau sesuci Maryam
Seluruh hidupnya mengabdikan diri kepada Tuhan

Meskipun daku bukan ibunya yang memiliki peribadi semurni Siti Fatimah
Ibu Syeikh Abdul Kadir Jailani
Yang tiap titis darah mampu berzikir ke hadrat Ilahi

Namun..
Mudah-mudahan zuriatku
Bakal menampilkan
Mujahid-mujahid yang rindu memburu syahid
Srikandi-srikandi yang mampu memakmurkan muka bumi Allah
Dengan ketaqwaan, kesolehan, ramainya ummat Rasulullah
Yang saling redha berkorban dan dikorbankan
Buat menyemarakkan Islam di akhir zaman
Sebagaimana kisah seorang ibu yang telah kematian Putera-puteranya di medan jihad

"Mereka telah berbahagia sebagaimana aku bahagia.
Aduhai, kiranya aku punya seorang anak lagi,
Kurelakan dia turut gugur di jalan Ilahi!"

Dan seandainya daku ditaqdirkan kehilangan mereka
Setenang Ummu Faisal
Yang tidak menjadikan kematian suami dan anak-anaknya
Halangan Kecintaan padaMu Ya Ilahi

Redhailah daku yang dhaif ini sebagai hambaMu
Inilah pengaduan harap dan munajat
Kiranya KekasihMu sendiri pernah menyatakan
" Kulihat kebanyakan dari isi neraka itu adalah wanita??.."

****Saya terima menerusi satu emel suatu tika dahulu. Tak tau siapa pencetus idea ini. Yang penting, inilah hasrat murni seorang wanita Muslimah...

25 Ogos 2008

Pesanan untuk lelaki dan wanita

Saya agak sibuk untuk membincangkan isu-isu berkaitan menerusi blog ini. Namun, untuk tidak mengecewakan pengunjung setia, saya kongsikan dengan anda beberapa maklumat berharga sebagai panduan bersama;
-----------------------------------------------------------------------
Pesanan Rasulullah SAW Terhadap Wanita

Dunia ini ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasanialah wanita (isteri) yang solehah.
Riwayat Muslim).

Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian ia keluar melintasi kaum lelaki ajnabi, agar mereka mencium bau harumnya maka ia adalah perempuan zina, dan tiap-tiap mata yang memandang itu adalah zina. (Riwayat Ahmad, Thabarani dan Hakim)

Dikahwini wanita itu kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka carilah yang kuat beragama nescaya kamu beruntung.

Wanita, apabila ia sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadhan, memelihara kehormatan serta taat pada suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki. (Riwayat dari Ahmad Ibnu Hibban, Thabarani, Anas bin Malik).

Perempuan yang melabuhkan pakaian dalam keadaaan berhias bukan untuk suaminya dan muhrimnya adalah seumpama gelap gelita di hari kiamat, tiada nur baginya. (Riwayat Tarmizi)

Apabila lari seorang wanita dari rumah suaminya, tidak diterima sembahyangnya, sehingga ia kembali dan menghulurkan tangan kepada suaminya (meminta maaf). (Riwayat dari Hassan).

Wanita yang taat pada suami, semua burung-burung di udara, ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan semuanya beristigfar baginya selama ia masih taat pada suaminya dan diredainya (serta menjaga sembahyang dan puasanya.)

Dari Muaz bin Jabal bersabda Rasululllah SAW: Mana-mana wanita yang berdiri di atas kakinya membakar roti untuk suaminya hingga muka dan tangannya kepanasan oleh api, maka diharamkan muka dan tangannya dari bakaran api neraka.

Tiap-tiap wanita yang menolong suaminya di dalam urusan agama, maka Allah memasukkannya dalam syurga lebih dahulu dari suaminya (sepuluh ribu tahun) kerana dia memuliakan suaminya di dunia maka mendapat pakaian dan bau-bauan syurga untuk turun ke mahligai suaminya dan mengadapnya.

Ya Fatimah, jika seorang wanita meminyakkan rambut suaminya dan janggutnya dan memotong kumisnya dan mengerat kukunya, Allah akan memberinya minum dari sungai syurga, diiringi Allah baginya sakaratul maut dan akan didapati kubur menjadi sebuah taman dari taman-taman syurga serta mencatatkan Allah baginya kelepasan dari neraka dan selamatlah ia melintasi titian Siratul-mustaqim.

Mana-mana wanita yang berkata kepada suaminya "tidak pernah aku dapat dari engkau satu kebajikan pun". Maka Allah akan hapuskan amalannya selama 70 tahun, walaupun ia berpuasa siang hari dan beribadah pada malam hari.

Apabila wanita mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya, Allah mencatatkan baginya setiap hari seribu kebajikan dan menghapus baginya seribu kejahatan.

Apabila wanita mulai sakit untuk bersalin, Allah mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah (perang sabil).

Apabila wanita melahirkan anak keluarlah dosa-dosa darinya seperti keadaan ibunya melahirkannya.


Pesanan Untuk Lelaki

'Jangan engkau kahwini wanita yang enam, jangan yang ananah, yang mananah, dan yang hananah, dan jangan engkau kahwini yang hadaqah, yang baraqah dan yang syadaqah'

- wanita Ananah banyak mengeluh dan mengadu, dan tiap saat memperalatkan sakit atau buat-buat sakit.

- wanita Mananah suka membangkit-bangkit terhadap suami. Wanita ini menyatakan 'aku membuat itu keranamu'.

- wanita Hananah menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain.

- wanita Hadaqah melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya utk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.

- wanita Baraqah ada 2 makna, pertama yang sepanjang hari mengilatkan dan menghias mukanya, kedua dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagiannya.

- wanita Syadaqah banyak cakap tidak menentu, lagi bising.
Dicatat oleh Imam Al-Ghazalli

***Di manakah kedudukan kita?? Fikir-fikirkanlah...

22 Ogos 2008

Jodoh dan perkahwinan

Agak sibuk dengan rutin kerja harian. Rasa penat, menjenguk emel. Ada satu emel daripada peminat setia mengirimkan maklumat berharga untuk semua:
---------------------------------------------------

Jodoh tiada kaitan dengan keturunan. Hanya belum sampai masanya. Ia bagai menanti jambatan untuk ke seberang. Kalau panjang jambatannya jauhlah perjalanan kita. Ada org jodohnya cepat sebab jambatannya singkat. Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 tahun belum apa² kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan. Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda itu dalam doa² di akhir sembahyang. Allah mendengar.


Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuklelaki yang jahat. Biar lambat jodoh asalkan mendapat Mr Right dan biar seorang diri drpd menjadi mangsa lelaki yang tidak beriman kemudian nanti. Memang kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu sangka, aku pasti bahagia kalau mendapat ini. Hakikatnya, apabila kita benar² mendapat apa yang kita inginkan itu, ia juga dtg bersama masalah.

Kita selalu melihat org memandu kereta mewah dan terdetiklah di hati kita, bahagianya org itu. Hakikatnya apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah kita ditimpa pelbagai kerenah. Tidak mustahilpula org yang memandu kereta mewah (walaupun sebenarnya tak mewah)terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan. Orang lain membeli dengan harga biasa, dia terpaksa membayar berlipat ganda.

Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikalmencelah-celah hingga mampu berada jauh di hadapan. Anda pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang sebuah motosikal seperti itu dan cepat sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang motosikal mungkin sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta di tgh² bandaraya.

Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar² membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda, pasti ada baik buruknya.

Demikian juga perkahwinan. Ia baik sebab ia dibenarkan oleh agama, sunnah Nabi, sebagai saluran yang betul untuk melepaskan shahwat di samping membina sahsiah dan sebagainya, tapi ia juga buruk sebab ramai org yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus.



Ramai orang menempah neraka sebaik sahaja melangkahkan kaki ke alam berumahtangga. Bukankah dengan ijab dan qabul selain menghalalkanhubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut banyak? Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka?

Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan masing² padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asalkan segala impian menjadi nyata?

Jika tidak sanggup untuk bergelar isteri tidak usah berkahwin dulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu untuk bergelar ibu ataupun ayah, belajarlah dulu. Jika rasa² belum bersedia untuk bersabar dgn kerenahanak², carilah dulu kesabaran itu.

Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi telah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik.

Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar² mengerti tuntutan2nya. Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus² bagi yang menjadikannya gelanggang untuk mengukuhkan iman, mencintai Tuhan dan menjadikan syurga sebagai matlamat.

Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan - bagi yang mengetahui rahsia²nya. Berkahwinlah anda demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan berkahwin kerana perasaan dan mengikut kebiasaan.

Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong²nya agar jemputan itu mudah sampai dan tidak terhalang.



Seorang teman pernah berpesan:"Kadang² Allah sembunyikan matahari..Dia datangkan petir dan kilat..kita menangis dan tertanya-tanya, kemana hilangnya sinar..rupa²nya.. Allah nak hadiahkan kita pelangi.."

"Cinta yang disemadikan tidak mungkin layu selagi adanya imbas kembali. Hati yang remuk kembali kukuh selagi ketenangan dikecapi. Jiwa yang pasrah bertukar haluan selagi esok masih ada. Parut yang lama pastikan sembuh selagi iman terselit di dada..."

****terima kasih Peminat Setia....

## TAHNIAH kepada Siti Anisah Samingan (sahabat adik saya) yang baru bertunang pada 17hb Ogos baru ni. Moga jodoh kalian berkekalan hingga ke akhirat.

21 Ogos 2008

Berdoalah






Allah SWT berjanji, mohonlah pada-Nya dan Dia akan makbulkan namun ada tikanya hajat anda lambat kesampaian kerana hanya Dia yang tahu yang terbaik untuk kita semua.....
****Himpunan doa daripada http://www.darussyifa.org/

Beri Anak Anda Permulaan Awal dalam Pembacaan

Pernahkah anda bertemu dengan anak-anak pra-sekolah yang boleh membaca buku cerita dengan sendiri? Pernahkah anda bertanya kepada diri sendiri mengenainya:

Bagaimana anak itu belajar membaca pada umur yang semuda itu? Adakah penting anak saya belajar membaca dari awal?

Sekiranya saya bukan seorang guru adakah saya menyerahkan tanggungjawab kepada guru sahaja untuk mengajar anak saya membaca dan menulis?

APAKAH DIA PEMBACA AWAL?
Pembaca awal ialah kanak-kanak yang “mula membaca” tanpa sebarang jenis pembelajaran.
Pembaca awal tidak perlu bijak atau lebih dewasa dari kanak-kanak bukan pembaca dan tidak juga perlu dari keluarga ibu bapa berpendidikan tinggi. Malah kanak-kanak seperti ini datang dari keluarga yang telah memberikannya banyak peluang untuk membaca dan menulis.

ADAKAH PEMBACA AWAL MEMPUNYAI KELEBIHAN?
Kajian terhadap pembaca awal menunjukkan bahawa mereka gemar membaca dan seronok membaca berbagai jenis bahan. Minat dalam membaca membantu mereka lebih baik dalam pembacaan dan juga subjek-subjek sekolah yang lain.

APA YANG BOLEH DILAKUKAN OLEH IBU BAPA?
BANYAK! Walau bagaimanapun perkara yang penting sekali yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi keupayaan membaca anak mereka ialah membantu anak mereka menyemai sikap GEMAR MEMBACA. Kemudian bila anak itu telah bersedia, anak itu akan mula minat membaca. Mendesak seseorang kanak-kanak belajar membaca hanya akan membuat dia benci atau takut untuk membaca. Mungkin juga dia akan terus benci membaca.

Apa yang patut dilakukan oleh ibu bapa:
- Biarkan anak melihat anda membaca sebagai satu keseronokan dan mencari maklumat sama ada membaca dalam bahasa Inggeris atau bahasa ibunda.

- Galakkan anak anda “membaca” kepada anda (dan jangan lupa untuk memuji kerana usahanya itu.)

- Tunjukkan benda sekeliling anda yang ada tanda tulisan,seperti bahan makanan yang anda beli atau sebagainya.

- Biarkan dia melihat anda membaca dan menulis dalam kegiatan seharian seperti melihat resepi dan iklan, atau ketika menulis nota terima kasih kepada rakan dan sebagainya.

- Galakkan anak anda “menulis” dan kemudian “membaca” cerita, surat atau sebagainya (meskipun sekiranya dia “berlagak” dan belum boleh membaca. lagi)

- Simpan bahan-bahan membaca dan menulis seperti buku, majalah, pensel dan kertas di tempat yang mudah diambil.

SERINGLAH MEMBACA DAN BERBINCANG CERITA DENGAN ANAK ANDA.

Apa yang tidak patut dilakukan oleh ibu bapa:
- Jangan memaksa anak anda membaca.
- Jangan terlalu ghairah dengan kemajuan tahap pembacaannya.
- Jangan membandingkan anak anda dengan kanak-kanak lain.
- Jangan bertanyakan soalan seandai menguji apa yang telah dibacanya.
- Jangan menyuruhnya membaca buku yang lebih susah dari yang termampu dengan tahap pembacaannya.

JANGAN JADIKAN WAKTU MEMBACA SEBAGAI UGUTAN ATAU MASA YANG MENGGERUNKAN.

SEKIRANYA MEMBACA KEPADA ANAK SAYA BEGITU PENTING, BAGAIMANAKAH CARA SAYA MELAKUKANNYA?
Membaca cerita adalah salah satu cara yang penting bagi ibu bapa dalam membantu anak-anak mereka belajar membaca. Adalah baik untuk membaca cerita tanpa mengambil kira masa, tetapi waktu hendak tidur adalah masanya anak anda berasa selesa dengan anda. Pertama, biarlah dia yang memilih buku, atau anda pilih buku yang mungkin ceritanya menarik anak anda.

Cuba memilih buku cerita yang mengandungi:
- gambar dan huruf yang jelas
- cerita yang mudah dan menarik
- watak-watak yang menggembirakan dan melakukan apa yang sering dilakukan oleh kanak-kanak
- rentak yang baik untuk bacaan atau kekata dan frasa yang menarik yang didapati dalam beberapa buku untuk pembaca awal
- cerita yang pendak, sesuai untuk dudukan sekali sahaja

Peluklah anak anda dan cuba menjadi masa membaca masa yang menyeronokkan dan selesa untuk anda dan anak anda. Tunjukkan buku cerita itu dan tanyakan anak anda apakah mungkin cerita dalam buku itu. Bincangkan mengenai tajuk cerita dan gambar-gambarnya. Berhenti untuk berbincang, bertanya dan menjelaskan. Jangan jadikannya sebagai suatu waktu pembelajaran.

Untuk kanak-kanak kecil, adalah lebih baik untuk menceritakan secara ringkas dan mudah atau menunjukkan benda-benda menarik dalam gambar dari membacakan keseluruhan cerita dalam buku itu.

Bagi kanak-kanak yang lebih dewasa pula, adalah baik untuk menunjukkan padanya perkataan-perkataan yang anda baca kepadanya dan bacalah dalam nada seperti bercakap.
Jika anak anda menunjukkan tanda-tanda kurang berminat akan cerita itu, tukar kepada buku lain atau terus saja berhenti membaca.

Jangan memaksa anak anda membaca. Cuba jadikan masa membaca masa yang menyeronokkan agar anak anda dapat memupuk MINAT MEMBACA.

****tulisan Gail Rahman untuk Persatuan Membaca dan Persuratan (Singapura)
*****Dua hari melayan sakit kepala, tak dapat teruskan perbincangan. Sekadar berkongsi ilmu.

18 Ogos 2008

Sumpah diterima pakai dalam undang-undang?

Saya menerima beberapa emel yang bertanyakan tentang sumpah, sama ada boleh diterima pakai di dalam undang-undang dan rata-rata kes ada kaitan dengan sumpah yang dibuat oleh bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kebetulan, seorang rakan sepengajian yang kini adalah S/U Agong Persatuan Peguam Syarie Malaysia ada mengeluarkan kenyataan akhbar maka saya kongsikan di sini:

Persatuan Peguam Syarie Malaysia
(Shariah Lawyers Association of Malaysia)

Sekretariat PGSM
Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan
Jalan Damansara, 50675 Kuala Lumpur.
Tel : 03-2274 1499 Fax : 03-2274 1499 Web site : www.pgsm.org.my


KENYATAAN AKHBAR
SETIAUSAHA AGONG
PERSATUAN PEGUAM SYARIE MALAYSIA
TUAN MUSA AWANG p.p.n

16 OGOS 2008 bersamaan 14 Sya’ban 1428H

SUMPAH SAIFUL TIDAK BERNASKAN HUKUM SYARAK

Menyentuh tentang sumpah Mohd Saiful Bukhari Azlan di Masjid Wilayah Persekutuan pada 15 Ogos 2008, bahawa dia diliwat oleh DS Anwar Ibrahim.

Saya dengan ini mengutarakan kenyataan dan pandangan berikut, berhubung perkara di atas :-

Bahawa sumpah yang dibuat oleh Saiful adalah tidak bernaskan dan tidak berlandaskan Hukum Syarak.

Tiada kaedah sumpah Syarak dalam kes-kes jenayah syariah yang melibatkan hukuman ta’zir. Sumpah syarak dibenarkan dalam kes-kes qisos dan hudud dalam keadaan-keadaan yang tertentu sahaja. Sumpah juga hanya terdapat dalam kes-kes mal, yakni yang melibatkan pertikaian suami isteri atau rumahtangga, atau perebutan harta.

Sumpah syarak perlu dilakukan di dalam Mahkamah, setelah diperintahkan oleh Hakim, bukan di tempat awam atau di dalam masjid. Sumpah yang dibuat oleh Saiful secara tidak langsung telah mencemarkan intitusi masjid sebagai tempat beribadat umat Islam.

Sumpah dengan memegang atau menjunjung al-Quran bukanlah dari amalan atau ajaran Islam. Sumpah menjunjung atau memegang kitab suci adalah dari amalan Kristian.

Sumpah yang dibuat oleh Saiful seolah-olah telah menggangu proses dakwaan dan perbicaraan terhadap DS Anwar Ibrahim, kerana kes sedang berjalan di Mahkamah. Sepatutnya segala dakwaan atau hujah atau keterangan Saiful perlu dikemukakan di dalam Mahkamah, bukan di tempat awam dan kemudiannya di siarkan dalam media, seolah-olah tidak tidak menghormati dan mencabar kewibawaan institusi Mahkamah.

DS Anwar Ibrahim tidak perlu bersumpah menjawab dakwaan Saiful, kerana dalam Islam tidak terdapat kaedah sumpah Syarak dalam kes-kes melibatkan tuduhan liwat.


ULASAN

Dalam undang-undang jenayah Islam, beban untuk membuktikan fakta tertentu adalah terletak pada orang yang mengemukakan dakwaan, dan mengkehendaki Mahkamah percaya akan kewujudan fakta tersebut. Seksyen 74 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah 1997 memperuntukkan – ”Beban membuktikan tentang apa-apa fakta tertentu terletak pada orang yang berhendakkan Mahkamah mempercayai tentang kewujudan fakta itu.”

Cara memberikan keterangan di dalam kes-kes jenayah syariah, keterangan hendaklah diberikan oleh pendakwa dan tertuduh, melainkan jika tertuduh mengaku salah. Seksyen 87 (3) Enakmen Keterangan memperuntukkan bahawa – ”Dalam kes jenayah, keterangan hendaklah diberikan bagi pendakwa dan bagi tertuduh melainkan jika tertuduh mengaku salah.”

Maksudnya terletak di atas bahu pihak yang mengemukakan aduan untuk membuktikan fakta yang didakwanya, dan tertuduh juga perlu membuktikan sebaliknya. Fakta-fakta ini perlu dibuktikan di dalam Mahkamah, bukan di tempat-tempat awam atau dimasjid.

Dalam kes-kes qisos (membunuh, memukul dan mencederakan, menggugurkan kandungan), walaupun ada nas-nas mengenai sumpah di atas, namun para fuqaha masih tidak sepakat dalam menerima sumpah sebagai dalil mensabitkan jenayah. Imam Malik, Syafie dan Ahmad berpendapat, sumpah diterima oleh Islam sebagai dalil atau bukti jenayah ke atas tertuduh jika tiada bukti lain, atau bukti tidak cukup. Sedangkan Imam Abu Hanifah berpendapat sumpah bukan suatu bukti atau dalil mensabitkan jenayah, tetapi satu cara bagi menafikan tuduhan yang dibuat oleh pendakwa ke atas tertuduh. Jenayah qisos yang dibolehkan bersumpah dalam mensabitkan jenayah hanyalah dalam jenayah membunuh sahaja.

Dalam kes-kes yang melibatkan hudud (zina, qazaf (menuduh zina), minum arak, mencuri, samun, memberontak dan murtad), sumpah hanya diterima sebahagian kecil ulama’ dalam kes-kes tertentu seperti qazaf dan mencuri sahaja.

Dalam kes qazaf (menuduh zina), menurut Mazhab Shafie, sekiranya pendakwa tidak mempunyai apa-apa keterangan atau tidak cukup bukti, maka tertuduh boleh diminta bersumpah menafikan dakwaan itu. Jika tertuduh bersumpah, maka gugurlah dakwaan itu. Walaubagaimanapun, Imam Malik dan Ahmad tidak menerima langsung sumpah sebagai satu bukti mensabitkan kesalahan qazaf.

Dalam kes mencuri, menurut Mazhab Shafie, sekiranya kesalahan mencuri tidak dapat dibuktikan maka pihak tertuduh boleh diminta bersumpah. Jika tertuduh enggan, pihak yang kena curi boleh bersumpah al-yamin al-mardudah. Tetapi pandangan ini tidak diterima oleh mazhab-mazhab yang lain. Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad berpendapat sumpah hanya boleh diterima dalam kes-kes mal atau sivil sahaja.

Dalam kes-kes mal atau sivil, yakni yang melibatkan yakni yang melibatkan pertikaian suami isteri atau rumahtangga, atau perebutan harta, sumpah perlu dilakukan dalam Mahkamah setelah diperintahkan oleh Hakim untuk berbuat demikian. Seksyen 87 (1) dan (2) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 memperuntukkan :-

”Dalam kes mal, keterangan hendaklah diberikan oleh Plaintif dan Defendan, dan jika Defendan menafikan tuntutan terhadapnya, dia hendaklah dikehendaki mengangkat sumpah mengikut Hukum Syarak.”

”Jika Defendan mengangkat sumpah di bawah subseksyen (1), tuntutan yang dibuat oleh Plaintif hendaklah ditolak.”

”Jika Defendan enggan mengangkat sumpah, maka Mahkamah bolehlah meminta Plaintif mengangkat sumpah dan dengan sumpah itu tuntutannya hendaklah diterima.”

Dalam Islam, sumpah adalah dengan menyebut nama Allah, dengan menggunakan kalimah sumpah, ’Wallahi al-Azim, wabillahi, watallahi,’ dan tidak disyaratkan memegang atau menjunjung al-Quran.

Sumpah memegang kitab suci adalah amalan agama Kristian, yang mana orang yang bersumpah dikehendaki menjunjung atau memegang Bible.

Sebagaimana umum sedia maklum, pertuduhan terhadap DS Anwar Ibrahim telah dibuat, dan kesnya akan disebut semula untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. Kes tersebut sedang berjalan. Sepatutnya segala dakwaan tentang salah laku Anwar di kemukakan dalam proses perbicaraan di Mahkamah. Perbuatan mengeluarkan kenyataan atau membuat sebarang tindakan sedemikian akan menggangu dan merencatkan perjalanan perbicaraan di Mahkamah, dan ia seolah-olah tidak menghormati Mahkamah sebagai tempat membicarakan dan memutuskan keadilan.

Liwat dalam undang-undang jenayah Syariah :

Liwat atau homoseksual adalah perbuatan yang sejak dahulu lagi dipertikaikan oleh para fuqaha samada dia boleh dianggap zina atau tidak. Sesetengahnya berpendapat ia adalah zina berdasarkan hadith Abu Musa al-Asyari bahawa Nabi s.a.w bersabda :- ”Apabila lelaki bersetubuh dengan lelaki maka kedua-duanya telah berzina.”

Akan tetapi kebanyakan fuqaha berpendapat bahawa liwat bukannya zina, kerana adat dan kebiasaan masyarakat tidak menganggap demikian. Tambahan pula bahaya atau kesan perbuatan liwat tidak sama bahaya dengan kesan zina yang melibatkan keturunan dan keluarga.

Walaubagaimanapun para ulama sepakat bahawa liwat itu adalah perbuatan terkutuk dan berdosa besar.

Liwat dalam undang-undang jenayah syariah adalah dikategorikan sebagai kesalahan ta’zir, yakni kesalahan atau perbuatan maksiat yang tidak ditentukan kadar hukumannya oleh Syarak. Ia tidak termasuk dalam kesalahan hudud atau qisos.

Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 memperuntukkan bahawa – Seksyen 25 – ”Mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.”

Manakala Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 memberikan tafsiran yang lebih luas, di mana Seksyen 28 Enakmen memperuntukkan bahawa : ”mana-mana orang yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.”

Sekian, untuk siaran.

Terima kasih,

MUSA BIN AWANG
019-3870105
Setiausaha Agong
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

****Siaran ini bukan menyokong mana-mana parti politik, sekadar penyebaran ilmu untuk makluman semua.

15 Ogos 2008

Ada nikmat dalam mungkar?

Saya terima emel daripada seorang rakan yang agak lama juga tidak bertukar berita. Bila dibaca, maklumat berharga yang boleh saya kongsi dengan anda semua:
-------------------------------------------------------------

Minggu lepas, kawan seofis Fendi tanya 'Kenapa kadang kala kita lihat seseorg insan tu sentiasa dapat kegembiraan spt dapat naik pangkat, murah rezeki dll sedangkan dia tu selalu melakukan kemungkaran? '.

So, Fendi pun jawablah yang kdg kala sesuatu anugerah Allah swt kpd seseorg individu tu bukanlah sebab Allah sayangkan hambanya itu tetapi kerana Allah nak tengok sejauh mana keikhlasan orang itu.

Allah nak tengok adakah hambanya itu akan menyedari bahawa Allah amat bermurah hati dengannya jadi sepatutnya dia bersyukur dan berubah menjadi baik. Tapi jika individu itu masih tidak reti bersyukur maka sesungguhnya dia telah menimbulkan kemurkaan Ar-Rahman.

Teringat juga Fendi pd satu penjelasan ustazah sekolah rendah dulu. Ada member tanya kenapa kdg2 kita dah banyak kali berdoa tapi belum dapat apa yang diimpikan. Ustazah kata itu tandanya Allah sayang pada kita. Sebabnya Allah tahu kalau kita lambat atau belum dpt yg diimpikan, kita akan terus berdoa dan mengingati Ilahi.

Sebenarnya Allah amat rindukan suara hamba-hambaNya merayu dan memujiNya. Kalau sekali berdoa terus dapat, kemungkinan besar lepas tu kita kita taksub dan lupa utk bersyukur pd yg Esa.

Tup-tup dpt pula artikel ni drp seorg rakan. A very relevant and interesting article. Semoga Allah beratkan timbangan ibadah kita drp timbangan dosa di Pdg Mahsyar nanti. InsyaAllah..

Apakah dia istidraj itu?
Istidraj adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan istidraj.

Rasullulah s. a.w. bersabda :'Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka),ketahuila h bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT.' (Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)

Tetapi, manusia yang durhaka dan sering berbuat maksiat yang terkeliru dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang kepadanya adalah kerana Allah berserta dan kasih dengan perbuatan maksiat mereka. Masih ada juga orang ragu-ragu, kerana kalau kita hendak dapat kebahagian didunia dan akhirat kita mesti ikut jejak langkah Rasullulah saw dan berpegang teguh pada agama Islam.

Bagaimana dengan ada orang yang sembahyang 5 waktu sehari semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan Ramadhan sahaja, bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain. Tapi, hidup mereka biasa sahaja. Ada yang susah juga. Kenapa?

Bagaimana pula orang yang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit banyak, dia boleh hidup kaya dan mewah. Bila kita tanya, apa kamu takut mati? Katanya, alah, orang lain pun mati juga, kalau masuk neraka, ramai-ramai. Tak kisahlah! Sombongnya mereka, takburnya mereka.

Rasullulah s. a. w. naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong, Nabi Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di muka bumi tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong! Secantik-cantik Nabi Yusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong. Bila sampai masa dan ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.

Manusia istidraj = Manusia yang lupa daratan.

Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal. 'Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadatpun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong.'

Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya. Rasullulah s. a. w bersabda: 'Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya' (Kitab Nasaibul æIbad)

Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap, anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap) , dia akan cuba melawan api.

Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah swt. Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.

Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya.

Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita kaya, jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga.

Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita. Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang /mewah. Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya. Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya?

Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan.

Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari. Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah. Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah? Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur nikmatnya. Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah.

Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, niscaya selamatlah kita di dunia dan akhirat.

13 Ogos 2008

Mas kahwin hutang: wajar tak layan suami

Puan, saya tertarik dengan kenyataan, "Jika suami berhutang mas kawin, isteri berhak menolak permintaan suami pada malam pertama dan malam2 seterusnya hinggalah jumlah mas kawin dibayar."Adakah ini bermakna, jika isteri menolak ajakan suami, isteri itu tidak berdosa & tidak akan dikutuk oleh malaikat hingga ke subuh? Ada nas/dalil yg mengatakan ini dibolehkan?Bagaimana pula jika suami itu nusyuz (tidak menunaikan tanggungjawap zahir)? Adakah isteri berhak menolak ajakan suami, pada bila-bila masa dia tidak menginginkannya?Minta pandangan puan tentang hal ini dari segi hukum syarak.

-----------------------------------------------------
Soalan di atas dikemukakan menerusi ulasan dalam perbincangan topik Kasih dinilai dengan wang hantaran? Untuk perbincangan kali ini, saya akan bincangkan mengenai persoalan pertama dahulu iaitu isteri berhak menolak permintaan suami untuk bersama sekiranya suami berhutang mas kahwin. Persoalan kedua akan saya bincangkan nanti, insyaAllah!

Jawapan:

Mas kahwin adalah pemberian yang wajib daripada lelaki kepada perempuan yang dikahwini sama ada sebelum, sesudah atau pada waktu akad nikah dilakukan dan ia tidak dapat digantikan dengan pemberian yang lain.

Perintah memberi mas kahwin dalam perkahwinan dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian dengan penuh rela. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari mas kahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu yang sedap lagi baik akibatnya" (Surah an-Nisa, ayat 4).

Mas kahwin tidak ditetapkan jenisnya dan jumlah nilaian, asalkan sesuatu yang wujud dan ada nilainya. Pemberian itu hendaklah sempurna iaitu dilangsaikan sepenuhnya pada masa yang ditetapkan dan diberikan secara ikhlas. Firman Allah dalam surah an-Nisa, ayat 24 bermaksud: "Maka isteri-isteri yang telah kamu campuri antara mereka, berilah kepada mereka mas kahwin dengan sempurna sebagai sesuatu kewajipan."

Mas kahwin wajib disediakan oleh lelaki biarpun sekadar satu barang yang murah harganya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jadikan mas kahwin sekalipun dengan sebentuk cincin daripada besi." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebentuk cincin besi tentulah amat murah harganya. Tetapi itulah perintah daripada Rasulullah SAW agar memberatkan soal mas kahwin, yang wajib disediakan walaupun dalam nilaian amat rendah. Penyerahan mas kahwin boleh dilakukan secara tunai atau hutang.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Kalau sekiranya seseorang pemuda memberi makanan sepenuh kedua tangannya saja untuk mas kahwin seseorang wanita, sesungguhnya wanita itu halal baginya." (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Hakikatnya, mas kahwin adalah simbol permulaan tanggungjawab seorang suami kepada isteri. Kemudian, menyusul tanggungjawab yang lebih berat terpaksa dipikul oleh suami. Jika mas kahwin tidak dibayar oleh pihak suami, isteri berhak tidak tergesa-gesa menyerahkan dirinya.

Dari Ibnu Abbas menceritakan ketika Saidina Ali menikahi Fatimah dan bersedia untuk bersetubuh, lantas Rasulullah menegahnya sebelum dijelaskan mas kahwin (dengan diberikan sesuatu). Saidina Ali menberitahu dia tidak mempunyai apa-apa yang boleh diserahkan. Lantas, Rasulullah bersabda: "Berikan baju perangmu itu." Setelah Saidina Ali menyerahkannya kepada Fatimah, baru dibenarkan kedua-duanya sebagaimana lazim suami isteri. -Riwayat Abu Daud.

Di dalam hadis yang lain: Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Mana-mana lelaki yang mengahwini perempuan atas sekurang-kurang atau sebanyak-banyak maharnya, tetapi tidak ada maksud (tidak mahu) membayar mahar tersebut sebagai haknya (perempuan yang dikahwini), setelah itu ia mati padahal belum lagi ia tunaikan (mahar tersebut), maka nanti ia bertemu dengan Allah pada hari Kiamat sebagai orang yang berzina." - Riwayat at-Tabrani dan al-Hakim.

Dari sudut penguatkuasaan undang-undang, setiap pasangan yang berkahwin diberikan surat perakuan nikah yang mana tercatat di dalamnya nilaian mas kahwin dan pemberian-pemberian lain. Ia termasuk sebarang cagaran yang dibuat bagi menyelesaikan mas kahwin atau pemberian -pemberian lain dan telah diperuntukan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam bagi setiap negeri.

Tujuannya ialah supaya tercatat segala pemberian daripada pihak lelaki kepada pihak perempuan sebagai pemberian yang mutlak dan tidak boleh diambil semula oleh lelaki walaupun berlaku penceraian.

Bahkan jika berlaku perceraian dan mas kahwin tersebut masih belum dijelaskan, maka ia boleh dituntut sebagai satu hutang melalui tindakan di Mahkamah Syariah

Sekiranya pasangan itu bercerai, walaupun sebelum bersetubuh, maka mas kahwin masih perlu dijelaskan, tetapi sekadar separuh daripada jumlah yang disebutkan ketika akad atau yang ditetapkan.

Firman Allah bermaksud: "Andainya kamu ceraikan isteri-isterimu sebelum kamu bercampur dengan mereka, pasahal sesungguhnya kamu sudah tentukan maharnya, maka bayarlah satu perdua daripada mahar yang kamu tentukan." (Surah al-Baqarah, ayat 237).

Wallahua'lam.

12 Ogos 2008

Ahli KBS: Tabung dan promosi perniagaan

Kelab Bersama Suzana akan melancarkan tabung kebajikan ahli.

Setiap ahli juga berpeluang mempromosikan perniagaan anda kepada masyarakat umum.

Maklumat lanjut sila layari Kelab Bersama Suzana .

Harga sebuah iman

Saya terima emel daripada seorang rakan lama. Renungkan bersama…:

Beberapa tahun dahulu, ada seorang Imam yang berasal dari Thailand telah dipanggil ke Malaysia untuk menjadi Imam tetap di sebuah masjid di Malaysia. Telah menjadi kebiasaan Imam tersebut selalu menaiki bas untuk pergi ke masjid.

Pada suatu hari, selepas Imam tersebut membayar tambang dan duduk di dalam bas, dia tersedar yang pemandu bas tersebut telah memulangkan wang baki yang lebih daripada yang sepatutnya sebanyak 20 sen. Sepanjang perjalanan Imam tersebut memikirkan tentang wang 20 sen tersebut.

"Perlukah aku memulangkan 20 sen ni?" Imam tersebut bertanya kepada dirinya. "Ah... syarikat bas ni dah kaya... setakat 20 sen ni.. nak beli tosei pun tak cukup", kata Imam tersebut.
Apabila tiba di hadapan masjid, Imam tersebut menekan loceng dan bas tersebut pun berhenti. Ketika Imam tersebut ingin turun sahaja daripada bas, tiba-tiba seakan-akan dirinya secara automatik berhenti dan berpaling ke arah pemandu bas tersebut sambil memulangkan wang 20 sen tersebut.

"Tadi kamu beri saya wang baki terlebih 20 sen" kata Imam tersebut kepada pemandu bas tersebut.

"Owh... terima kasih! Kenapa awak pulangkan 20 sen ni.. kan sedikit je nilainya", pemandu bas tersebut berkata.

Imam tersebut menjawab, "Wang tersebut bukan milik saya, sebagai seorang muslim saya wajib berlaku jujur".

Pemandu bas tersebut tersenyum, dan berkata, "Sebenarnya saya sengaja memberi wang baki yang lebih sebanyak 20 sen ni, saya nak uji kejujuran kamu wahai Imam. Saya sudah berkali-kali berfikir untuk memeluk Islam".

Imam tersebut turun dari bas dan seluruh jasadnya menggigil dan kesejukan. Imam tersebut berdoa sambil menadah tangan, "Astaghfirullah!!!, Ampunkan daku Ya Allah... Aku hampir-hampir menjual harga sebuah Iman dengan 20 sen!!!.

Sahabat-sahabatku sekalian... Apa yang anda dapat daripada peristiwa di atas? Ingatlah.. kita mungkin tidak melihat dan tahu kesan tindakan kita terhadap orang lain. Kadang-kadang manusia akan menganggap kita sebagai tingkap untuk melihat ke dalam dunia Islam... Sesungguhnya pada diri Rasulullah s.a.w. itu terdapat contoh teladan yang baik.
-----------------------------

Pada tahun 1980/81 seorang hamba Allah bertugas di TUDM Labuan telah memulangkan RM42,000 kepada BBMB (ketika tu) yang terlebih bayar. Syukur dia tersedar dari angan-angan kerana banyak boleh dia lakukan dgn wang sejumlah itu pada tahun/waktu itu. Walaupun telah meninggalkan bank dan sampai di pejabat..akhirnya di sebelah petang setelah berperang dengan perasaan, dia memulangkan wang tersebut. Maka terselamatlah si juruwang, yang jika tidak harus membayar balik jumlah itu kepada majikannya.

Semoga Ilahi terus memelihara harga diri dan keimanan hamba Allah tersebut & anak cucunya sehingga bila-bila, Amin.

Perceraian bukan bermaksud kegagalan hidup

Khamis lepas, ketika sedang berbincang dengan rakan sekerja, telefon bimbit saya berbunyi tanda ada pesanan ringkas baru. "Salam Kak Su. Alhamdulillah, kes saya dah pun selesai. Keputusan hakim berpihak kepada saya. Terima kasih Kak Su."

Saya menarik nafas lega, syukur yang tidak terhingga kepada Allah yang Maha Kuasa. Sungguh benar janji Allah, setiap hamba yang beriman akan diuji namun Dia takkan tinggalkan hamba-Nya begitu sahaja. Sepanjang masa Dia sudi mendengar dan memberikan pertolongan.

Wanita yang mengirimkan sms kepada saya ini adalah seorang ibu kepada lima anak berusia antara sembilan tahun hingga enam bulan (tika perjumpaan pertama bersama saya penghujung Jun yang lalu). Ketika bersemuka dengan saya, bermula dari awal luahan hingga akhir, air matanya sentiasa mengalir. Bukan raungan tetapi kesedihan yang amat sangat sementelah pula, dia tidak pernah menceritakan segala masalah yang dihadapinya sejak awal perkahwinan kepada sesiapa. Segalanya dipendam sendiri.

Wanita malang ini bersuamikan seorang lelaki berpangkat tetapi tidak bertanggungjawab. Pendapatan suami adalah duit suami, pendapatan isteri yang hanya 1/3 daripada pendapatan suami juga adalah duit suami. Isteri tidak berpeluang menggunakan hasil titik peluhnya malah isteri terpaksa bekerja sambilan untuk menampung keperluan anak-anak. Suami?? Memang tak boleh diharapkan. Yang tau, nafkah batin sahaja.

Bukan saja enggan berikan nafkah zahir malah wanita ini kerap juga dipukul. Tak kira isteri sihat atau sakit malah kerap kali juga tika isteri dalam tempoh berpantang, isteri dilanyak sesedap rasa suami. Pernah sekali, tika selepas habis pantang bersalinkan anak keempat, wanita tabah ini membuat aduan kepada polis dan kesannya, wanita ini digantung talak. Suami bertaklik: "Lima tahun dari sekarang, aku ceraikan kau dengan talak satu."

Ketika berjumpa saya, wanita ini sedang dalam proses untuk mendapatkan pengesahan lafaz tersebut. Dia ingin tahu, apakah peluangnya untuk keluar daripada perkahwinan yang menyiksakan dan apa pula hak-hak yang dia boleh dapat terutama berkaitan anak-anak? Saya jelaskan satu persatu. Wajah yang asalnya keruh mula berubah jadi lebih bercahaya. Senyum mula terukir di wajah. Saya yakin wanita ini mula rasa lebih selamat dan lega. Selepas pertemuan, kami selalu bertukar berita melalui sms. Berita terkini inilah yang paling menggembirakan saya.

Bukan kerana saya sukakan perceraian tetapi kerana wanita ini berjaya juga keluar daripada neraka perkahwinan. Ya! Perceraian perkara yang halal tetapi dimurkai Allah tetapi bukan bererti perceraian itu haram dan tidak boleh. Perkahwinan mempunyai prinsip dan hikmah yang tersendiri. Apabila prinsip perkahwinan tidak diikuti dan hikmah perkahwinan gagal dinikmati, perceraian adalah jalan keluar yang terbaik. Paling penting, perceraian bukan bermaksud anda gagal di dalam hidup. Kenapa perlu takut dengan perceraian setelah anda berusaha untuk mengekalkan perkahwinan anda? Usaha sebelah pihak tidak cukup jika pihak yang satu lagi langsung tidak ada inisiatif untuk memperbaiki diri bagi menyelamatkan rumahtangga.

Ada yang berpendapat, anak-anak yang membesar dalam suasana ibu bapa yang bercerai akan terganggu pembesaran terutamanya pembelajaran mereka. Saya sanggah pendapat ini kerana tidak semua kes anak-anak yang ibu bapanya bercerai, gagal di dalam pelajaran malah bukan semua anak-anak yang hidup dalam ikatan perkahwinan, berjaya di dalam pelajaran. Ada tika dan masanya, perceraian adalah lebih baik untuk pembesaran dan kejayaan anak-anak pada masa depan. Sebagai contoh, anak-anak yang sering melihat perselisihan dan percakaran ibu bapa tidak akan beroleh ketenangan di dalam hidup.

Daripada terus mengekalkan perkahwinan yang menyiksakan setiap pihak termasuk anak-anak, jalan keluar terbaik ialah perceraian. Paling penting, hubungan antara anak-anak dengan mana-mana pihak yang tidak mendapat hak jagaan tidak diputuskan dan pihak yang tidak mendapat hak jagaan perlulah terus memberikan didikan, bimbingan dan perhatian, bukan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak yang menjaga sahaja.

Anda tidak gagal hanya kerana perkahwinan anda berakhir sebaliknya anda gagal jika tidak berjaya memberikan didikan, bimbingan dan perhatian yang perlu kepada anak-anak anda.

11 Ogos 2008

Doa hilangkan tekanan

Hari ini, dalam emel group rakan-rakan sepengajian dulu, seorang rakan berikan satu doa kepada seorang rakan kami yang agak tertekan di dalam menyiapkan tesis PhDnya. Saya masukkan doa tersebut di sini agar dapat dikongsi oleh semua.

Bukan saja untuk hilangkan tekanan belajar malah doa ini adalah umum, segala jenis tekanan. Cuma seperti yang selalu saya ingatkan, berdoa dengan penuh mengharap dan anda sendiri faham maksud doa tersebut. Allah dah nyatakan, mintalah dan Dia akan makbulkan. Yang penting, jangan putus berdoa.




09 Ogos 2008

Kasih biar ikhlas

Awal pagi ini, saya terima satu emel daripada seorang wanita yang pernah bersemuka dengan saya hampir sebulan yang lalu. Tika perjumpaan tersebut, wanita ini menceritakan tentang dirinya yang sedang menanti keputusan suami, sama ada untuk meneruskan perkahwinan atau tidak. Alasan suami, si isteri gagal berperanan sebagai seorang isteri iaitu jarang memasak, lambat mengemas rumah dan paling penting, isteri gagal membantu suami dalam masalah kewangan.

Mengimbau sejarah perkahwinan, sejak awal kahwin si suami gagal memberikan nafkah zahir kerana selalu gagal dalam perniagaan dan enggan bekerja makan gaji. Setelah perkahwinan lebih dari 10 tahun, keadaan masih sama. Tambah memberikan tekanan perasaan ialah sikap suami yang terlalu mendesak isteri agar sempurna dalam segala hal. Suami enggan menerima apa-apa alasan kekurangan isteri malah suami sentiasa bersikap berang apabila permintaan suami untuk mendapatkan pinjaman wang daripada isteri, tidak dipenuhi. Namun, sebelum kata putus nak beri pinjam atau tidak dibuat oleh isteri, suami akan berubah sikap: rajin membantu kerja-kerja rumah, bercakap dengan baik dan lembut. Bila dah pasti isteri tak nak beri pinjam, suami akan marah-marah. Bukan sekali dua tapi dah banyak kali. Dimudahkan cerita, isteri hanya akan dilayan dengan baik jika suami inginkan bantuan kewangan dan mendapat bantuan tersebut, jika tidak... memang isteri akan dimarahi.

Tak perlulah saya bercerita panjang tentang perbincangan kami tika itu cuma satu perkara yang saya nak kongsi dengan anda semua ialah bezakan antara sayang dan dipergunakan. Bukan kes wanita ini sahaja malah ada banyak kes lain yang serupa. Di mulut lafazkan sayang tetapi tanggungjawab tidak ditunaikan. Meminta layanan lima bintang daripada isteri tetapi pada masa yang sama menjadikan isteri bagaikan 'Along Bukit Beruntung', bezanya isteri tak boleh bertindak keras terhadap suami. Ada juga suami yang 'menggunakan' isteri sepuasnya di malam hari dan pagi esoknya, dihenyak dan dilanyak bagai menyental pakaian. Nauzubillah!!

Apakah itu tanda kasih sayang? Anda disayang atau dipergunakan? Dicintai atau dieksploitasi? Seperti yang selalu saya tegaskan layanan baik adalah hak isteri. Isteri bukanlah hamba untuk lakukan setiap kerja rumahtangga, menguruskan anak-anak dan anda tanpa rasa simpati dan bantuan suami. Isteri bukan peti simpanan atau bank untuk anda dapatkan wang. Isteri juga bukan pelacur yang boleh anda tiduri untuk melampiaskan nafsu seks anda.

Isteri adalah rakan kongsi anda. Kewajipan anda sebagai suami untuk menerima, menyayangi, mengasihi, menjaga makan minumnya, pakaiannya, tempat tinggalnya, kesihatannya, menjaga perasaannya, membimbing dan mendidiknya agar hidup berlandaskan syariat. Setiap pahala yang dikerjakannya, dia yang dapat sebaliknya setiap dosa yang dilakukannya, anda juga menanggungnya hingga ke akhirat jika anda gagal berperanan mengubahnya. Berat?? Sebab itulah anda lelaki dan menjadi suami.

Bukan tak boleh pinjam wang isteri tetapi perlulah bersikap adil. Pinjam atau hutang maksudnya perlu bayar semula. Bila anda bermasalah menunaikan sepenuhnya tanggungjawab anda dan perlukan bantuan isteri, anda juga perlu membantu isteri menunaikan tanggungjawabnya. Bukan bererti anda ketua keluarga, andalah raja yang boleh mengarahkan segalanya.

Buat isteri yang mengalami nasib serupa, berusahalah mendapatkan hak anda yang sewajarnya kerana anda tidak berhak merana atas satu kekeliruan, sayang atau dipergunakan?

Buat semua tak kira lelaki atau wanita, suami atau isteri, ikhlaslah dalam mencurah kasih kerana anda juga akan dikasihi dengan ikhlas walaupun oleh seekor binatang buas .

07 Ogos 2008

Poligami: Jangan bertindak mengikut emosi

Seperti yang saya jangkakan, perbincangan saya di dalam Resipi Hidup minggu ini bertajuk Hormati Hak Orang Lain Agar Hak Anda Dihormati mendapat maklumbalas yang amat memberangsangkan. Sama seperti maklumbalas yang saya terima ketika membincangkan topik Salahkah Menyintai Suami Orang yang disiarkan pada bulan Januari 2007.

Satu persamaan maklumbalas kedua-dua topik ialah "saya berbincang tanpa berlandaskan fakta syariat dan satu komen dengan jelas mengatakan saya kafir kerana menolak ajaran Islam." Bezanya pula, topik awal Januari tahun lepas itu menobatkan saya sebagai anti poligami dan penyokong isteri pertama dan ketika dua hari Mingguan Wanita Bil.1290 berada di pasaran (memang biasa cepat daripada tarikh siaran kan), saya menerima banyak sms dan emel yang mengatakan saya tidak adil, tidak faham hati wanita khasnya isteri pertama dan saya menyokong poligami malah saya disoal: "Sanggupkah saya benarkan suami saya berkahwin lain?"

Kelakar pulak rasanya. Dulu saya kafir kerana anti poligami, sekarang pulak kafir kerana menyokong poligami. Kalaulah ada anugerah khusus untuk perunding seperti saya, sudah pasti saya akan memenangi dua pingat yang amat berbeza pengiktirafannya. Pertama: Anugerah Anti Poligami dan selepas setahun setengah: Anugerah Penyokong Poligami. Kenapa berbeza sedang hakikatnya, saya adalah orang yang sama, mempunyai pemikiran yang sama sejak dulu dan seperti yang selalu saya tegaskan: perbincangan saya adalah berasaskan fakta undang-undang, psikologi dan syarak.

Rata-rata mereka yang membaca perbincangan saya mengakui kebenaran tersebut hatta mereka yang berjumpa dengan saya mengakuinya malah seorang lelaki yang ingin berpoligami tetapi ditentang oleh isteri, kedua-duanya bersemuka dengan saya, pulang dengan rasa puas hati walau pendirian masing-masing (suami nak poligami dan isteri menentang) masih tebal. Bukan kata saya tetapi luahan hati keduanya pada akhir perbincangan. Sebabnya, saya tak berikan kata putus sebaliknya saya memberikan jalan dan cara penyelesaian serta kesan dan akibat bagi setiap perkara yang diluahkan kepada saya.

Saya faham, bukan saya yang memakai kasut anda tetapi kenapa sampai perlu menimbulkan isu kafir? Saya tak tolak mana-mana hukum syarak. Poligami ada di dalam Islam, itu jelas dan terang. Saya tak membantah, juga tak menyokong sebab kalau saya berdepan dengan permintaan suami untuk kahwin lagi, saya sendiri akan pertimbangkan banyak kali: setuju atau tidak?

Yang penting, pertimbangan mengikut ilmu yang pasti, bukan emosi dan kata hati semata-mata. Satu hujah yang digunakan untuk menuduh saya 'tidak mengikut syarak' ialah Rasulullah SAW menyuruh Ali menceraikan puteri baginda Fatimah jika Ali ingin berkahwin lagi. Jangan pegang kata-kata tu sahaja sebaliknya dalami dan selidik apa punca Rasulullah SAW bertindak sedemikian.

Rasulullah SAW melarang Ali berkahwin lagi kerana Ali berhasrat menikahi puteri Abu Jahal, musuh utama Islam. Rasulullah SAW bimbang puteri baginda akan difitnah dan fitnah tersebut boleh melukakan hati puteri baginda dan Rasulullah SAW tidak mahu puteri baginda terluka.

As-Sayyid bin Abdul Aziz As Sa'dani mengatakan: "Bahawa sesungguhnya hadis atau hukum larangan poligami ini khusus untuk puteri Rasulullah SAW. Dan bahawasanya ia tidak akan berkumpul dengan puteri musuh Allah. Oleh kerana itu, puteri Rasulullah tidak akan bersatu bersama puteri musuh Allah."

Sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnul Munayyir Al-Iskandari, "Ini termasuk dalam wanita-wanita yang diharamkan. Oleh kerana itu, Nabi SAW berkata, "Sesungguhnya aku bimbang mereka akan memfitnah puteriku."

Kata-kata tersebut bukan satu sebab untuk membenarkan setiap wanita yang tidak dapat menerima hakikat hidup berpoligami memohon cerai daripada suami. Jika suami anda mampu berlaku adil dalam setiap perkara, bertahanlah! Izinkanlah orang lain berkongsi suami dengan anda kerana anda tidak akan rugi apa-apa.

Ya! Bercakap memang mudah. Nak laksanakan tu yang payah. Betul, saya akui cuma satu perkara, susah atau payah itu adalah daripada diri anda sendiri. Jika anda mahu, anda boleh lakukannya: terima dengan redha, ikhlas dan bersyukur.

Kalau suami saya minta nak kahwin lagi? Kalau betul-betul mampu, silakanlah. Ada jugak pembantu saya nak jaga kebajikan suami. Tapi kena betul-betul mampu dalam setiap perkara: kewangan, kasih sayang, emosi dan kekuatan sebagai ketua keluarga agar mampu mengawal setiap isteri dan anak-anak supaya dapat hidup berlandaskan syariat. Bukan cakap besar tapi kalau ada orang lain yang hidup bahagia dengan madunya sendiri, kenapa saya tak boleh cuba? Poligami adalah syariat daripada Allah. Allah itu Maha Adil, sudah pasti Dia tidak akan menganiayai hamba-Nya.

Dunia ini hanya pinjaman. Suami anda juga pinjaman. Satu hari akan dijemput 'pergi' juga. Apalah salahnya sesekali dia tiada di depan mata. Bukan dengan perempuan simpanan tetapi isterinya yang sah. Tolonglah suami anda berlaku adil kerana suami anda akan menanggung balasan kegagalannya bersikap adil di akhirat nanti. Jika anda tidak terlalu 'meminta', bersedia menerima seadanya, tidak berebut dan tidak tamak, semuanya akan berjalan seperti biasa, indah dan ceria...

Bagaimana nak wujudkan suasana begitu? Jawapan mudah: Bertindak mengikut pertimbangan ilmu dan iman, bukan pertimbangan emosi...

****Saya dengan kerjasama Bina Bahagia Services akan menganjurkan seminar khusus yang akan membincangkan segalanya berkaitan poligami termasuk kelayakan, hak dan cara hidup. Objektif utama program ialah agar poligami yang disyariatkan di dalam Islam diamalkan menepati kehendak syarak. Maklumat lanjut akan saya umumkan nanti.

01 Ogos 2008

Kasih dinilai dengan wang hantaran?

Cuti sekolah akan tiba tak lama lagi. Saya sendiri dah terima banyak jemputan majlis kahwin. Namun, dalam kesibukan ramai bakal pengantin menyediakan persiapan majlis, ada juga bakal pengantin yang masih pening memikirkan soal wang hantaran. Saya pernah bincangkan tentang topik ini, benarkan kasih dinilai dengan wang hantaran?

Saya kongsi dengan anda semua di sini:

1. Adakah salah sekiranya pihak ibu bapa (bakal pengantin perempuan) menetapkan jumlah-jumlah tertentu sebagai hantaran untuk anak mereka itu?
Jawapan: Tak salah. Ibu bapa boleh tetapkan jumlah-jumlah tertentu sebagai hantaran untuk anak mereka namun jumlah yang ditetapkan tersebut perlulah dipertimbangkan sewajarnya dan munasabah.

2. Kita sering mendengar alasan bahawa jumlah hantaran yang bakal diberikan kepada pihak lelaki kepada bakal isterinya itu boleh menjadi pengukur kepada nilai kasih sayang si lelaki itu kepada bakal isterinya. Apa komen Pn. Suzana berhubung kenyataan tersebut dan mengapa pemikiran sebegini boleh timbul dalam pemikiran masyarakat kita hari ini?
Jawapan: Saya tak setuju dengan pendapat tersebut. Kalau jumlah hantaran itulah nilai kasih sayang, apakah bermaksud kasih sayang adalah seperti barangan yg boleh dijual beli? Cuba imbas pasangan suami isteri lampau, berapa sangatlah hantaran kawin mereka tetapi kasih kekal hingga ke anak cucu hari ini. Lihat juga pasangan hari ini yang berkahwin dengan jumlah hantaran biasa, masih boleh kekal bahagia sebaliknya pasangan yang kawin gah sepelusuk negara dengan hantaran menyamai harga sebuah kereta bezanya kereta dibayar ansuran bulanan, belum melepasi peringkat pertama perkahwinan dah pun bercerai berai. Apakah bermaksud, kasih sayang kini sudah tiada erti walau diperolehi dgn harga yg tinggi? Pada saya, pendapat sebegini hanya timbul dan dipersetujui oleh mereka yang memandang wujudnya kasih sayang itu melalui nilaian harta. Ada harta, adalah cinta. Tiada harta, tiadalah cinta. Memang sukar nak bahagia kalau berpegang dengan prinsip sebegini. Ya, dunia skrg serba serbi perlukan wang tetapi wang tidak boleh berikan kebahagiaan hakiki.

3. Adakah kaum-kaum lain (selain dari Melayu) ada juga menetapkan hantaran mereka yang tersendiri kepada bakal pasangan hidupnya. Adakah ianya hanya sekadar ‘ADAT’ atau ‘KEWAJIPAN’ yang perlu dilaksanakan oleh bakal pengantin lelaki sebelum mendirikan rumah tangga?
Jawapan: Hantaran adalah ketetapan adat, bukan syariat. Syariat tetapkan setiap lelaki perlu membayar mas kawin sahaja utk bakal isterinya. Mas kawin ini wajib dibayar oleh setiap suami. Jika suami berhutang mas kawin, isteri berhak menolak permintaan suami pada malam pertama dan malam2 seterusnya hinggalah jumlah mas kawin dibayar. Sebaliknya hantaran boleh dibayar dan boleh tidak dibayar dan ianya tidak memberikan apa-apa kesan terhadap hubungan suami isteri menurut syariat. Namun, adat menetapkan hantaran sebagai hadiah daripada suami kepada isteri dan juga hadiah daripada isteri kepada suami sebagai tanda kasih sayang dan kesediaan masing-masing mengabdikan diri di atas nama perkahwinan. Bukan saja kaum Melayu, malah kaum lain juga ada menyediakan hantaran untuk perkahwinan. Malangnya kebanyakan kaum Melayu malah Muslim telah tersilap pandang mengenai hantaran. Hantaran dijadikan satu perkara wajib malah menekan pihak lelaki sahaja hingga terpaksa membayar jumlah yang tidak munasabah.

4. Mungkinkah faktor ‘hantaran tinggi’ menjadi penyebab atau penyumbang kepada isu wanita kahwin lambat yang sering diwar-warkan dalam media massa hari ini? Apa komen Pn. Suzana berhubung senario ini? Dalam konteks masyarakat pula, bagaimana kita perlu menangani masalah atau pemikiran sebegini?
Jawapan: Saya tak der statistik kajian yang pasti namun saya pernah beberapa kali mendengar keluhan lelaki malah si gadis tentang isu hantaran tinggi ni. Ada lelaki yang mengeluh kesah kerana tidak mampu menyediakan jumlah hantaran yang dikehendaki oleh keluarga bakal mertua. Akhirnya, terpaksa meminta penangguhan tarikh nikah kerana gagal memenuhi permintaan jumlah hantaran. Bila berlaku penangguhan tarikh, berlakulah kelambatan dan sekali gus menjadi penyumbang kepada sebab-sebab kenapa kebanyakan wanita lambat kawin. Untuk menangani masalah ini, setiap individu perlu sedar tentang asas hantaran itu sendiri iaitu sebagai satu bentuk hadiah. Dah kalau namanya hadiah, tentulah yang bersesuaian dengan kemampuan dan tidak menimbulkan masalah kepada pemberinya di belakang hari.

5. Mungkinkah faktor kos sara hidup yang semakin meningkat pada hari ini turut mempengaruhi nilai hantaran perkahwinan?
Jawapan: Mungkin juga namun persoalannya, apa kaitan kos sara hidup dengan hantaran? Ada kes yang sampai kepada saya, ada ibu bapa yang menetapkan jumlah hantaran dengan mengambil kira kos yang telah mereka keluarkan ketika membesarkan anak gadis mereka. Kalau anak gadisnya suka melaram dengan pakaian-pakaian cantik dan ibu bapa dah keluarkan banyak duit untuk menampung minat si anak maka bakal suami dianggap perlu membayar semula segala kos tersebut. Alasannya, biar hilang lelah membesarkan si anak. Jika inilah yang dikatakan nilai hantaran tinggi kerana kos hidup yang semakin meningkat, bagaiman dengan anak gadis yang tidak bertemu jodoh? Apakah ibu bapa mahukan anak gadis mereka membayar semula kos sara hidup yang telah dikeluarkan selama ini? Ke mana perginya jati diri seorang ibu dan ayah jika mengharapkan balasan di atas segala jerih payah membesarkan anak-anak? Ada juga alasan yang diberikan, jumlah hantaran perlu tinggi bagi menampung segala kos majlis perkahwinan. Nak beli katil baru, cadar baru, cantikkan rumah dan pembiayaan majlis kenduri. Saya faham, akad nikah sekali hari tu jer. Boleh nak buat semeriah yang diimpikan tetapi jangan sampai membebankan orang lain semata-mata memenuhi impian anda itu. Dalam perkahwinan yang wajib hanyalah akad nikah dan pemberitahuan kepada masyarakat. Tak perlu nak jemput satu negara untuk tujuan pemberitahuan. Kalau mampu, silakanlah. Masalahnya ialah lelaki yang menjadi suami kepada anak anda yang terpaksa menanggung segalanya. Bagaimana lelaki tersebut nak jadi suami yang baik dan menunaikan segala tanggungjawab sebagai suami jika segala pendapatan bulanannya digunakan untuk melangsaikan hutang hantaran. Ada kes yang pernah saya kendalikan, satu pasangan bercerai selepas hanya tiga tahun berkahwin kerana si suami gagal menunaikan tanggungjawab nafkah sepenuhnya lantaran perlu menjelaskan hutang jumlah hantaran semasa perkahwinan masih belum selesai.

6. Bagaimana pula, dengan sesetengah pendapat yang mengatakan bahawa hantaran melambangkan nilai atau harga diri seseorang? Apa komen Pn. Suzana berhubung senario tersebut?
Jawapan: Saya tak setuju dengan pendapat tersebut. Harga diri seseorang bukan terletak pada wang ringgit. Harga diri seseorang juga tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. Ada wanita yang berkahwin hanya dengan hantaran paling rendah tetapi beliau mempunyai harga diri yang tinggi. Ada wanita yang berkahwin dengan hantaran yang tinggi sebaliknya beliau mempunyai harga diri yang cukup hina. Harga diri seseorang sebenarnya terletak pada kejujuran, keikhlasan dan keluhurannya untuk menerima sebuah hubungan hasil daripada perkahwinan.

7. Bolehkah jumlah hantaran yang terlalu tinggi, menimbulkan implikasi negatif dalam diri seseorang? (sbg contoh; mungkin menimbulkan masalah lambat kahwin/tangguh perkahwinan atau tak jadi kahwin)
Jawapan: Ya. Memang boleh. Hantaran yang terlalu tinggi bukan sahaja menimbulkan masalah lambat kawin, perkahwinan tertangguh atau tak jadi tetapi memberikan kesan yang besar kepada perkahwinan itu sendiri. Ada seorang klien saya mengadu, selepas lima tahun berkahwin beliau tidak pernah berpeluang balik ke rumah ibu dan ayahnya. Bila diajukan permintaan kepada si suami, suaminya menjawab: Awak tak boleh balik lagi ke sana sebab saya dah beli awak daripada ibu bapa awak. Sebabnya, si suami telah dipaksa membayar jumlah hantaran yang tinggi ketika perkahwinan mereka. Bukan satu kes ini sahaja, ada juga kes perkahwinan tidak bahagia apabila si suami gagal menunaikan tanggungjawab sepenuhnya sebagai ketua rumah tangga apabila pendapatannya setiap bulan hampir separuh digunakan untuk melangsaikan hutang hantaran. Malah, ada ibu bapa yang tidak melayan menantu dengan baik kerana merasakan keluarga menantunya telah memeras mereka apabila perlu menjelaskan jumlah hantaran yang tinggi. Bukan itu saja, ada kes hingga melibatkan pembunuhan seperti yang telah terjadi di Kedah baru-baru ini, nauzubillah.

8. Tinjauan yang saya buat baru-baru ini mengatakan bahawa; segelintir wanita bersetuju sekiranya memperoleh wang hantaran tinggi kerana ia boleh menjadi pengukuh kepada ikatan rumah tangga. Alasan mereka; suami akan berasa sayang dan rugi jika berpisah dengan isteri mereka itu memandangkan nilai hantaran yang dikeluarkan sewaktu majlis perkahwinan dahulu adalah tinggi!. Apa komen Pn. Suzana dengan kenyataan tersebut?
Jawapan: Saya tak tau apakah sebenarnya prinsip dan pendirian wanita yang memberikan pendapat sedemikian. Jika itulah yang mereka gunakan untuk mengikat kasih sayang suami, kebarangkalian untuk mereka hidup bahagia di dalam perkahwinan adalah tipis. Lelaki tidak akan rasa rugi menghabiskan wang untuk mendapat apa yang mereka suka. Sama jugak, jika apa yang mereka telah belanjakan dengan banyak gagal memberikan yang terbaik untuk mereka, mereka takkan teragak-agak untuk membuangnya. Wanita yang bijak akan berusaha menambat kasih sayang suami dengan pelbagai cara dan bukannya dengan meletakkan jumlah hantaran yang tinggi.

9. Nilai hantaran hari ini kian meningkat seiring dengan peredaran masa. Boleh dikatakan nilai hantaran tinggi dah menjadi ‘trend’ dalam adat perkahwinan hari ini. Rentetan dari senario itu, segelintir pasangan yang bakal berkahwin bertekad untuk menetapkan jumlah hantaran yang tinggi semata-mata untuk mengikut trend. (malu la pulak jika menetapkan hantaran rendah). Salahkah pemikiran tersebut? Mungkin Pn. Suzana ada pandangan dan pendapat tersendiri berhubung perkara tersebut.
Jawapan: Kenapa perlu ikut orang? Kalau orang terjun longkang, kita pun nak terjun longkang jugak? Tentu tak kan? Kenapa kita yang nak pakai baju tapi ukurnya di badan orang lain? Tak perlulah nak rasa malu kalau majlis kawin kecil atau hantaran kita sikit. Bukan kemeriahan majlis atau jumlah hantaran yang menjamin bahagianya sesebuah perkahwinan. Berbanggalah jika anda mampu hidup rukun damai bersuami isteri. Hantaran tinggi tapi porak peranda dicemuh orang jugak akhirnya.

10. Sebagai ibu bapa, bagaimana pula peranan dan tanggung jawab mereka dalam memastikan masing-masing tidak menyalah gunakan budaya ‘meletakkan nilai hantaran’ ini. (Sebab mungkin sesetengah masalah ‘hantaran tinggi’ ini timbul atas sebab desakkan keluarga).
Jawapan: Sebagai ibu bapa, fokus utama yang perlu diberikan perhatian ialah kebahagiaan anak menantu di dalam perkahwinan. Kalau anak dan bakal menantu dah sepakat, bincanglah elok-elok dengan keluarga sebelah lagi tentang hantaran ni, berapa yang mampu mereka berikan. Seperti yang saya katakan, hantaran ni sebenarnya hadiah. Maka, eloklah kedua-dua pengantin yang membuat keputusan berapa yang ingin mereka berikan kepada pasangan hidup masing-masing. Kalau nak buat majlis kawin yang meriah pun, buatlah tapi jangan bebankan kos majlis kepada bakal menantu. Pengalaman saya mengendalikan kes pun, ibu bapa yang meletakkan hantaran tinggi jarang dipandang mulia sebaliknya dikatakan menjual anak sendiri. Biarlah hantaran perkahwinan anak anda sikit tetapi mampu dibayar oleh bakal menantu tanpa perlu berhutang sana sini. Ingatlah, jika menantu anda tidak mempunyai masalah hutang, anak anda juga akan mampu hidup selesa dan bahagia.

11. Mungkin Pn. Suzana boleh berkongsi pandangan dan nasihat kepada bakal-bakal pengantin remaja hari ini, agar mereka tidak terlalu ghairah dalam menetap nilai-nilai tertentu untuk hantaran perkahwinan mereka.
Jawapan: Nasihat saya kepada bakal pengantin, tanya diri anda apakah matlamat anda mendirikan perkahwinan? Untuk mencipta bahagia bersama insan tersayang ataupun untuk menempa nama sebagai pengantin paling tinggi hantarannya? Jika bakal suami anda mampu, silakanlah. Jika tidak, jangan bebankan orang yang bakal menjadi teman hidup anda. Kalau bakal suami anda mampu pun, apa salahnya simpan duit tersebut untuk sesuatu yang lebih berfaedah kepada perkahwinan anda. Ingatlah, perkahwinan anda bukan sehari tu saja tetapi masih banyak lagi hari-hari depan yang perlu anda lalui bersama. Jangan rosakkan mahligai yang baru dibina dengan bebanan masalah kewangan yang berpunca daripada hantaran perkahwinan. Semoga bahagia milik anda semua.