Khamis lepas, ketika sedang berbincang dengan rakan sekerja, telefon bimbit saya berbunyi tanda ada pesanan ringkas baru. "Salam Kak Su. Alhamdulillah, kes saya dah pun selesai. Keputusan hakim berpihak kepada saya. Terima kasih Kak Su."
Saya menarik nafas lega, syukur yang tidak terhingga kepada Allah yang Maha Kuasa. Sungguh benar janji Allah, setiap hamba yang beriman akan diuji namun Dia takkan tinggalkan hamba-Nya begitu sahaja. Sepanjang masa Dia sudi mendengar dan memberikan pertolongan.
Wanita yang mengirimkan sms kepada saya ini adalah seorang ibu kepada lima anak berusia antara sembilan tahun hingga enam bulan (tika perjumpaan pertama bersama saya penghujung Jun yang lalu). Ketika bersemuka dengan saya, bermula dari awal luahan hingga akhir, air matanya sentiasa mengalir. Bukan raungan tetapi kesedihan yang amat sangat sementelah pula, dia tidak pernah menceritakan segala masalah yang dihadapinya sejak awal perkahwinan kepada sesiapa. Segalanya dipendam sendiri.
Wanita malang ini bersuamikan seorang lelaki berpangkat tetapi tidak bertanggungjawab. Pendapatan suami adalah duit suami, pendapatan isteri yang hanya 1/3 daripada pendapatan suami juga adalah duit suami. Isteri tidak berpeluang menggunakan hasil titik peluhnya malah isteri terpaksa bekerja sambilan untuk menampung keperluan anak-anak. Suami?? Memang tak boleh diharapkan. Yang tau, nafkah batin sahaja.
Bukan saja enggan berikan nafkah zahir malah wanita ini kerap juga dipukul. Tak kira isteri sihat atau sakit malah kerap kali juga tika isteri dalam tempoh berpantang, isteri dilanyak sesedap rasa suami. Pernah sekali, tika selepas habis pantang bersalinkan anak keempat, wanita tabah ini membuat aduan kepada polis dan kesannya, wanita ini digantung talak. Suami bertaklik: "Lima tahun dari sekarang, aku ceraikan kau dengan talak satu."
Ketika berjumpa saya, wanita ini sedang dalam proses untuk mendapatkan pengesahan lafaz tersebut. Dia ingin tahu, apakah peluangnya untuk keluar daripada perkahwinan yang menyiksakan dan apa pula hak-hak yang dia boleh dapat terutama berkaitan anak-anak? Saya jelaskan satu persatu. Wajah yang asalnya keruh mula berubah jadi lebih bercahaya. Senyum mula terukir di wajah. Saya yakin wanita ini mula rasa lebih selamat dan lega. Selepas pertemuan, kami selalu bertukar berita melalui sms. Berita terkini inilah yang paling menggembirakan saya.
Bukan kerana saya sukakan perceraian tetapi kerana wanita ini berjaya juga keluar daripada neraka perkahwinan. Ya! Perceraian perkara yang halal tetapi dimurkai Allah tetapi bukan bererti perceraian itu haram dan tidak boleh. Perkahwinan mempunyai prinsip dan hikmah yang tersendiri. Apabila prinsip perkahwinan tidak diikuti dan hikmah perkahwinan gagal dinikmati, perceraian adalah jalan keluar yang terbaik. Paling penting, perceraian bukan bermaksud anda gagal di dalam hidup. Kenapa perlu takut dengan perceraian setelah anda berusaha untuk mengekalkan perkahwinan anda? Usaha sebelah pihak tidak cukup jika pihak yang satu lagi langsung tidak ada inisiatif untuk memperbaiki diri bagi menyelamatkan rumahtangga.
Ada yang berpendapat, anak-anak yang membesar dalam suasana ibu bapa yang bercerai akan terganggu pembesaran terutamanya pembelajaran mereka. Saya sanggah pendapat ini kerana tidak semua kes anak-anak yang ibu bapanya bercerai, gagal di dalam pelajaran malah bukan semua anak-anak yang hidup dalam ikatan perkahwinan, berjaya di dalam pelajaran. Ada tika dan masanya, perceraian adalah lebih baik untuk pembesaran dan kejayaan anak-anak pada masa depan. Sebagai contoh, anak-anak yang sering melihat perselisihan dan percakaran ibu bapa tidak akan beroleh ketenangan di dalam hidup.
Daripada terus mengekalkan perkahwinan yang menyiksakan setiap pihak termasuk anak-anak, jalan keluar terbaik ialah perceraian. Paling penting, hubungan antara anak-anak dengan mana-mana pihak yang tidak mendapat hak jagaan tidak diputuskan dan pihak yang tidak mendapat hak jagaan perlulah terus memberikan didikan, bimbingan dan perhatian, bukan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak yang menjaga sahaja.
Anda tidak gagal hanya kerana perkahwinan anda berakhir sebaliknya anda gagal jika tidak berjaya memberikan didikan, bimbingan dan perhatian yang perlu kepada anak-anak anda.
1 ulasan:
Assalamulaikum,
Saya amat setuju dengan kata kata saudari pada 2 paragraph yang terakhir.
Ingin saya tambahkan
"Anda akan mempunyai masa depan yang lebih cerah, segar dan ceria selepas meninggalkan bebanan dan seksaan jiwa"
Catat Ulasan