13 Ogos 2008

Mas kahwin hutang: wajar tak layan suami

Puan, saya tertarik dengan kenyataan, "Jika suami berhutang mas kawin, isteri berhak menolak permintaan suami pada malam pertama dan malam2 seterusnya hinggalah jumlah mas kawin dibayar."Adakah ini bermakna, jika isteri menolak ajakan suami, isteri itu tidak berdosa & tidak akan dikutuk oleh malaikat hingga ke subuh? Ada nas/dalil yg mengatakan ini dibolehkan?Bagaimana pula jika suami itu nusyuz (tidak menunaikan tanggungjawap zahir)? Adakah isteri berhak menolak ajakan suami, pada bila-bila masa dia tidak menginginkannya?Minta pandangan puan tentang hal ini dari segi hukum syarak.

-----------------------------------------------------
Soalan di atas dikemukakan menerusi ulasan dalam perbincangan topik Kasih dinilai dengan wang hantaran? Untuk perbincangan kali ini, saya akan bincangkan mengenai persoalan pertama dahulu iaitu isteri berhak menolak permintaan suami untuk bersama sekiranya suami berhutang mas kahwin. Persoalan kedua akan saya bincangkan nanti, insyaAllah!

Jawapan:

Mas kahwin adalah pemberian yang wajib daripada lelaki kepada perempuan yang dikahwini sama ada sebelum, sesudah atau pada waktu akad nikah dilakukan dan ia tidak dapat digantikan dengan pemberian yang lain.

Perintah memberi mas kahwin dalam perkahwinan dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian dengan penuh rela. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari mas kahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu yang sedap lagi baik akibatnya" (Surah an-Nisa, ayat 4).

Mas kahwin tidak ditetapkan jenisnya dan jumlah nilaian, asalkan sesuatu yang wujud dan ada nilainya. Pemberian itu hendaklah sempurna iaitu dilangsaikan sepenuhnya pada masa yang ditetapkan dan diberikan secara ikhlas. Firman Allah dalam surah an-Nisa, ayat 24 bermaksud: "Maka isteri-isteri yang telah kamu campuri antara mereka, berilah kepada mereka mas kahwin dengan sempurna sebagai sesuatu kewajipan."

Mas kahwin wajib disediakan oleh lelaki biarpun sekadar satu barang yang murah harganya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jadikan mas kahwin sekalipun dengan sebentuk cincin daripada besi." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebentuk cincin besi tentulah amat murah harganya. Tetapi itulah perintah daripada Rasulullah SAW agar memberatkan soal mas kahwin, yang wajib disediakan walaupun dalam nilaian amat rendah. Penyerahan mas kahwin boleh dilakukan secara tunai atau hutang.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Kalau sekiranya seseorang pemuda memberi makanan sepenuh kedua tangannya saja untuk mas kahwin seseorang wanita, sesungguhnya wanita itu halal baginya." (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Hakikatnya, mas kahwin adalah simbol permulaan tanggungjawab seorang suami kepada isteri. Kemudian, menyusul tanggungjawab yang lebih berat terpaksa dipikul oleh suami. Jika mas kahwin tidak dibayar oleh pihak suami, isteri berhak tidak tergesa-gesa menyerahkan dirinya.

Dari Ibnu Abbas menceritakan ketika Saidina Ali menikahi Fatimah dan bersedia untuk bersetubuh, lantas Rasulullah menegahnya sebelum dijelaskan mas kahwin (dengan diberikan sesuatu). Saidina Ali menberitahu dia tidak mempunyai apa-apa yang boleh diserahkan. Lantas, Rasulullah bersabda: "Berikan baju perangmu itu." Setelah Saidina Ali menyerahkannya kepada Fatimah, baru dibenarkan kedua-duanya sebagaimana lazim suami isteri. -Riwayat Abu Daud.

Di dalam hadis yang lain: Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Mana-mana lelaki yang mengahwini perempuan atas sekurang-kurang atau sebanyak-banyak maharnya, tetapi tidak ada maksud (tidak mahu) membayar mahar tersebut sebagai haknya (perempuan yang dikahwini), setelah itu ia mati padahal belum lagi ia tunaikan (mahar tersebut), maka nanti ia bertemu dengan Allah pada hari Kiamat sebagai orang yang berzina." - Riwayat at-Tabrani dan al-Hakim.

Dari sudut penguatkuasaan undang-undang, setiap pasangan yang berkahwin diberikan surat perakuan nikah yang mana tercatat di dalamnya nilaian mas kahwin dan pemberian-pemberian lain. Ia termasuk sebarang cagaran yang dibuat bagi menyelesaikan mas kahwin atau pemberian -pemberian lain dan telah diperuntukan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam bagi setiap negeri.

Tujuannya ialah supaya tercatat segala pemberian daripada pihak lelaki kepada pihak perempuan sebagai pemberian yang mutlak dan tidak boleh diambil semula oleh lelaki walaupun berlaku penceraian.

Bahkan jika berlaku perceraian dan mas kahwin tersebut masih belum dijelaskan, maka ia boleh dituntut sebagai satu hutang melalui tindakan di Mahkamah Syariah

Sekiranya pasangan itu bercerai, walaupun sebelum bersetubuh, maka mas kahwin masih perlu dijelaskan, tetapi sekadar separuh daripada jumlah yang disebutkan ketika akad atau yang ditetapkan.

Firman Allah bermaksud: "Andainya kamu ceraikan isteri-isterimu sebelum kamu bercampur dengan mereka, pasahal sesungguhnya kamu sudah tentukan maharnya, maka bayarlah satu perdua daripada mahar yang kamu tentukan." (Surah al-Baqarah, ayat 237).

Wallahua'lam.

Tiada ulasan: