Awal pagi ini, saya terima satu emel daripada seorang wanita yang pernah bersemuka dengan saya hampir sebulan yang lalu. Tika perjumpaan tersebut, wanita ini menceritakan tentang dirinya yang sedang menanti keputusan suami, sama ada untuk meneruskan perkahwinan atau tidak. Alasan suami, si isteri gagal berperanan sebagai seorang isteri iaitu jarang memasak, lambat mengemas rumah dan paling penting, isteri gagal membantu suami dalam masalah kewangan.
Mengimbau sejarah perkahwinan, sejak awal kahwin si suami gagal memberikan nafkah zahir kerana selalu gagal dalam perniagaan dan enggan bekerja makan gaji. Setelah perkahwinan lebih dari 10 tahun, keadaan masih sama. Tambah memberikan tekanan perasaan ialah sikap suami yang terlalu mendesak isteri agar sempurna dalam segala hal. Suami enggan menerima apa-apa alasan kekurangan isteri malah suami sentiasa bersikap berang apabila permintaan suami untuk mendapatkan pinjaman wang daripada isteri, tidak dipenuhi. Namun, sebelum kata putus nak beri pinjam atau tidak dibuat oleh isteri, suami akan berubah sikap: rajin membantu kerja-kerja rumah, bercakap dengan baik dan lembut. Bila dah pasti isteri tak nak beri pinjam, suami akan marah-marah. Bukan sekali dua tapi dah banyak kali. Dimudahkan cerita, isteri hanya akan dilayan dengan baik jika suami inginkan bantuan kewangan dan mendapat bantuan tersebut, jika tidak... memang isteri akan dimarahi.
Tak perlulah saya bercerita panjang tentang perbincangan kami tika itu cuma satu perkara yang saya nak kongsi dengan anda semua ialah bezakan antara sayang dan dipergunakan. Bukan kes wanita ini sahaja malah ada banyak kes lain yang serupa. Di mulut lafazkan sayang tetapi tanggungjawab tidak ditunaikan. Meminta layanan lima bintang daripada isteri tetapi pada masa yang sama menjadikan isteri bagaikan 'Along Bukit Beruntung', bezanya isteri tak boleh bertindak keras terhadap suami. Ada juga suami yang 'menggunakan' isteri sepuasnya di malam hari dan pagi esoknya, dihenyak dan dilanyak bagai menyental pakaian. Nauzubillah!!
Apakah itu tanda kasih sayang? Anda disayang atau dipergunakan? Dicintai atau dieksploitasi? Seperti yang selalu saya tegaskan layanan baik adalah hak isteri. Isteri bukanlah hamba untuk lakukan setiap kerja rumahtangga, menguruskan anak-anak dan anda tanpa rasa simpati dan bantuan suami. Isteri bukan peti simpanan atau bank untuk anda dapatkan wang. Isteri juga bukan pelacur yang boleh anda tiduri untuk melampiaskan nafsu seks anda.
Isteri adalah rakan kongsi anda. Kewajipan anda sebagai suami untuk menerima, menyayangi, mengasihi, menjaga makan minumnya, pakaiannya, tempat tinggalnya, kesihatannya, menjaga perasaannya, membimbing dan mendidiknya agar hidup berlandaskan syariat. Setiap pahala yang dikerjakannya, dia yang dapat sebaliknya setiap dosa yang dilakukannya, anda juga menanggungnya hingga ke akhirat jika anda gagal berperanan mengubahnya. Berat?? Sebab itulah anda lelaki dan menjadi suami.
Bukan tak boleh pinjam wang isteri tetapi perlulah bersikap adil. Pinjam atau hutang maksudnya perlu bayar semula. Bila anda bermasalah menunaikan sepenuhnya tanggungjawab anda dan perlukan bantuan isteri, anda juga perlu membantu isteri menunaikan tanggungjawabnya. Bukan bererti anda ketua keluarga, andalah raja yang boleh mengarahkan segalanya.
Buat isteri yang mengalami nasib serupa, berusahalah mendapatkan hak anda yang sewajarnya kerana anda tidak berhak merana atas satu kekeliruan, sayang atau dipergunakan?
Buat semua tak kira lelaki atau wanita, suami atau isteri, ikhlaslah dalam mencurah kasih kerana anda juga akan dikasihi dengan ikhlas walaupun oleh seekor binatang buas .
1 ulasan:
Zaman sekarang memang payah cari "unconditional love" ...
Catat Ulasan