Satu persamaan maklumbalas kedua-dua topik ialah "saya berbincang tanpa berlandaskan fakta syariat dan satu komen dengan jelas mengatakan saya kafir kerana menolak ajaran Islam." Bezanya pula, topik awal Januari tahun lepas itu menobatkan saya sebagai anti poligami dan penyokong isteri pertama dan ketika dua hari Mingguan Wanita Bil.1290 berada di pasaran (memang biasa cepat daripada tarikh siaran kan), saya menerima banyak sms dan emel yang mengatakan saya tidak adil, tidak faham hati wanita khasnya isteri pertama dan saya menyokong poligami malah saya disoal: "Sanggupkah saya benarkan suami saya berkahwin lain?"
Kelakar pulak rasanya. Dulu saya kafir kerana anti poligami, sekarang pulak kafir kerana menyokong poligami. Kalaulah ada anugerah khusus untuk perunding seperti saya, sudah pasti saya akan memenangi dua pingat yang amat berbeza pengiktirafannya. Pertama: Anugerah Anti Poligami dan selepas setahun setengah: Anugerah Penyokong Poligami. Kenapa berbeza sedang hakikatnya, saya adalah orang yang sama, mempunyai pemikiran yang sama sejak dulu dan seperti yang selalu saya tegaskan: perbincangan saya adalah berasaskan fakta undang-undang, psikologi dan syarak.
Rata-rata mereka yang membaca perbincangan saya mengakui kebenaran tersebut hatta mereka yang berjumpa dengan saya mengakuinya malah seorang lelaki yang ingin berpoligami tetapi ditentang oleh isteri, kedua-duanya bersemuka dengan saya, pulang dengan rasa puas hati walau pendirian masing-masing (suami nak poligami dan isteri menentang) masih tebal. Bukan kata saya tetapi luahan hati keduanya pada akhir perbincangan. Sebabnya, saya tak berikan kata putus sebaliknya saya memberikan jalan dan cara penyelesaian serta kesan dan akibat bagi setiap perkara yang diluahkan kepada saya.
Saya faham, bukan saya yang memakai kasut anda tetapi kenapa sampai perlu menimbulkan isu kafir? Saya tak tolak mana-mana hukum syarak. Poligami ada di dalam Islam, itu jelas dan terang. Saya tak membantah, juga tak menyokong sebab kalau saya berdepan dengan permintaan suami untuk kahwin lagi, saya sendiri akan pertimbangkan banyak kali: setuju atau tidak?
Yang penting, pertimbangan mengikut ilmu yang pasti, bukan emosi dan kata hati semata-mata. Satu hujah yang digunakan untuk menuduh saya 'tidak mengikut syarak' ialah Rasulullah SAW menyuruh Ali menceraikan puteri baginda Fatimah jika Ali ingin berkahwin lagi. Jangan pegang kata-kata tu sahaja sebaliknya dalami dan selidik apa punca Rasulullah SAW bertindak sedemikian.
Rasulullah SAW melarang Ali berkahwin lagi kerana Ali berhasrat menikahi puteri Abu Jahal, musuh utama Islam. Rasulullah SAW bimbang puteri baginda akan difitnah dan fitnah tersebut boleh melukakan hati puteri baginda dan Rasulullah SAW tidak mahu puteri baginda terluka.
As-Sayyid bin Abdul Aziz As Sa'dani mengatakan: "Bahawa sesungguhnya hadis atau hukum larangan poligami ini khusus untuk puteri Rasulullah SAW. Dan bahawasanya ia tidak akan berkumpul dengan puteri musuh Allah. Oleh kerana itu, puteri Rasulullah tidak akan bersatu bersama puteri musuh Allah."
Sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnul Munayyir Al-Iskandari, "Ini termasuk dalam wanita-wanita yang diharamkan. Oleh kerana itu, Nabi SAW berkata, "Sesungguhnya aku bimbang mereka akan memfitnah puteriku."
Kata-kata tersebut bukan satu sebab untuk membenarkan setiap wanita yang tidak dapat menerima hakikat hidup berpoligami memohon cerai daripada suami. Jika suami anda mampu berlaku adil dalam setiap perkara, bertahanlah! Izinkanlah orang lain berkongsi suami dengan anda kerana anda tidak akan rugi apa-apa.
Ya! Bercakap memang mudah. Nak laksanakan tu yang payah. Betul, saya akui cuma satu perkara, susah atau payah itu adalah daripada diri anda sendiri. Jika anda mahu, anda boleh lakukannya: terima dengan redha, ikhlas dan bersyukur.
Kalau suami saya minta nak kahwin lagi? Kalau betul-betul mampu, silakanlah. Ada jugak pembantu saya nak jaga kebajikan suami. Tapi kena betul-betul mampu dalam setiap perkara: kewangan, kasih sayang, emosi dan kekuatan sebagai ketua keluarga agar mampu mengawal setiap isteri dan anak-anak supaya dapat hidup berlandaskan syariat. Bukan cakap besar tapi kalau ada orang lain yang hidup bahagia dengan madunya sendiri, kenapa saya tak boleh cuba? Poligami adalah syariat daripada Allah. Allah itu Maha Adil, sudah pasti Dia tidak akan menganiayai hamba-Nya.
Dunia ini hanya pinjaman. Suami anda juga pinjaman. Satu hari akan dijemput 'pergi' juga. Apalah salahnya sesekali dia tiada di depan mata. Bukan dengan perempuan simpanan tetapi isterinya yang sah. Tolonglah suami anda berlaku adil kerana suami anda akan menanggung balasan kegagalannya bersikap adil di akhirat nanti. Jika anda tidak terlalu 'meminta', bersedia menerima seadanya, tidak berebut dan tidak tamak, semuanya akan berjalan seperti biasa, indah dan ceria...
Bagaimana nak wujudkan suasana begitu? Jawapan mudah: Bertindak mengikut pertimbangan ilmu dan iman, bukan pertimbangan emosi...
****Saya dengan kerjasama Bina Bahagia Services akan menganjurkan seminar khusus yang akan membincangkan segalanya berkaitan poligami termasuk kelayakan, hak dan cara hidup. Objektif utama program ialah agar poligami yang disyariatkan di dalam Islam diamalkan menepati kehendak syarak. Maklumat lanjut akan saya umumkan nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan